KUALA LUMPUR – Di sebalik pengumuman keputusan cemerlang Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 hari ini, terselit kisah inspirasi luar biasa melibatkan seorang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) penglihatan, Nurul Aina Solehah Zainudin, 12.
Meskipun hanya dua tahun mengikuti kelas agama KAFA berbanding rakan sebaya lain yang bermula sejak tahun satu, murid SK Kubang Ikan ini membuktikan keazaman tinggi mampu membuahkan hasil apabila berjaya meraih keputusan 9A.
Nurul Aina Solehah yang ditemui mengakui dia begitu gembira dengan keputusan tersebut.
Kejayaan Nurul Aina Solehah menjadi antara sorotan utama majlis hari ini membuktikan sistem pendidikan Islam negara inklusif buat semua, termasuk murid yang mempunyai cabaran fizikal.
“Seronok sangat dapat 9A. “Terima kasih kepada semua yang bantu saya,” katanya sambil berkongsi cita-citanya untuk menjadi seorang guru.
Bapanya, Zainudin Mat Ali, 59, berkata, kejayaan ini adalah hasil tungkus lumus keluarga dan sokongan pelbagai pihak.
“Anak saya lewat sikit bermula, dia hanya sempat belajar KAFA selama dua tahun sahaja yang mana sepatutnya pembelajaran itu bermula dari tahun satu hingga tahun lima.
“Sebagai bapa dan juga pendidik, kami perlu pastikan dia tidak ketinggalan dan dapat menguasai semua mata pelajaran.
“Banyak yang perlu dilakukan, tak macam murid biasa antaranya salin nota daripada tulisan biasa kepada braille, kemudian kami cetak nota-nota itu ke tulisan braille,” katanya.
Untuk memastikan Nurul Aina Solehah tidak ketinggalan, anaknya itu diberikan kelas tambahan di rumah.
“Ada ustaz dan ustazah datang mengajar di rumah untuk membantu persediaannya,” katanya selepas ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 di SIRAJ Saidina Uthman bin Affan, hari ini.

Zainudin yang merupakan seorang guru di SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu mengakui anak tunggalnya ini sangat rajin dan tidak pernah mengeluh.
“Saya dan isteri sentiasa bercerita mengenai kepentingan belajar walaupun keadaan kami begini. Kami mahu dia berjaya,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Yayasan Islam Terengganu, guru-guru dan semua pihak yang telah membantu anaknya memperoleh keputusan tersebut.
Sementara itu, isterinya Latipah Mat Salleh, 47, yang juga seorang guru di SK Pendidikan Khas Kuala Terengganu menyifatkan Nurul Aina Solehah sebagai anak yang mudah dibentuk dan sangat berdisiplin terhadap masa.
Menurutnya, Nurul Aina Solehah juga rajin membuat ulang kaji di rumah.
“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan anak saya mendapat keputusan cemerlang. Nurul Aina Solehah seorang yang mendengar kata dan mudah mengikut arahan.
“Saya banyak membimbingnya dan memastikan dia benar-benar bersedia sebelum peperiksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















