BUTTERWORTH – Seorang individu mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen pada 4 Februari lalu atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
SSM dalam satu kenyataan media berkata, Lim Yong Sheng didakwa memberikan maklumat palsu berhubung alamat perniagaan dalam Borang A bertarikh 1 Mei 2024 semasa pendaftaran perniagaannya, Kidaroo Fashion Trading.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(1)(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Menurutnya, Hakim Roslan Hamid menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
“Tertuduh bagaimanapun menjelaskan denda tersebut pada hari yang sama,” katanya.
Tambahnya, pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Muhammad Akmal Azmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
SSM berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM. – MalaysiaGazette
















