WASHINGTON – Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, memberi amaran kepada Iran supaya mengambil ancaman tindakan ketenteraan Washington “secara serius”.
Ketika tentera Amerika Syarikat (AS) dikerahkan di Timur Tengah, Trump mendakwa dalam ucapannya kepada Kongres pada Selasa bahawa Iran sedang berusaha membangunkan peluru berpandu yang mampu menyerang Amerika Syarikat.
Trump turut menuduh republik Islam itu mempunyai “niat nuklear yang berbahaya” serta berusaha membina semula program nuklear yang pernah menjadi sasaran serangan AS tahun lalu.
Vance berkata, walaupun Trump akan cuba mendapatkan persetujuan dengan Iran melalui saluran “diplomatik”, Presiden AS itu juga mempunyai “hak” untuk menggunakan tindakan ketenteraan.
“Anda tidak boleh membiarkan rejim paling gila dan paling buruk di dunia memiliki senjata nuklear,” kata Vance kepada rancangan America’s Newsroom di Fox News.
Iran berulang kali menafikan ia berusaha memperoleh senjata nuklear, dan menolak dakwaan Trump mengenai program peluru berpandunya sebagai “pembohongan besar”.
“Presiden mempunyai beberapa lagi alat lain untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Beliau telah menunjukkan kesediaan untuk menggunakannya dan saya berharap pihak Iran mengambil perkara ini dengan serius dalam rundingan esok kerana itulah yang sebenarnya diutamakan oleh presiden,” katanya,
Naib presiden AS itu berkata pentadbiran Trump “berharap dapat mencapai penyelesaian yang baik tanpa menggunakan ketenteraan, namun jika terpaksa menggunakan kekuatan tentera, presiden sememangnya mempunyai hak tersebut.”
Kenyataan Vance dibuat ketika AS mengumumkan sekatan baharu yang menyasarkan Iran, meneruskan apa yang Washington gelar sebagai kempen “tekanan maksimum”.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, sebelum itu mengambil nada optimis dengan menyatakan terdapat “prospek yang menggalakkan” bagi rundingan tersebut ketika Menteri Luar Abbas Araghchi dan pasukannya tiba di Switzerland.
Namun, walaupun Trump berkata, beliau lebih mengutamakan penyelesaian diplomatik, beliau turut mengemukakan apa yang kelihatan sebagai justifikasi bagi kemungkinan tindakan ketenteraan dalam ucapan State of the Union pertama bagi penggal keduanya.
Ia merupakan pentas yang sama digunakan oleh Presiden George W. Bush, untuk mengemukakan alasan pencerobohan Iraq pada 2003.
Trump mendakwa dalam ucapannya bahawa Tehran telah “pun membangunkan peluru berpandu yang boleh mengancam Eropah dan pangkalan kami di luar negara, dan mereka sedang berusaha membina peluru berpandu yang tidak lama lagi boleh mencapai Amerika Syarikat.”
AS juga menuntut supaya Iran bersetuju bahawa sebarang perjanjian nuklear pada masa hadapan kekal berkuat kuasa tanpa had, menurut laporan Axios yang memetik utusan Trump, Steve Witkoff, kepada satu pertemuan tertutup pada Selasa.
Di bawah perjanjian nuklear 2015 dengan Iran — yang dibatalkan Trump semasa penggal pertamanya pada 2018 — sekatan terhadap program Iran dijadual luput secara berperingkat dalam beberapa tahun.
Iran menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan awam. – Agensi
















