Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban ditemui media pada program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memantau kegiatan tonto termasuk pemandu warga asing ketika melaksanakan operasi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk melaporkan anggotanya ke pihak berkuasa berkaitan jika terbabit dengn sindiket itu termasuk melindungi perbuatan mereka.

“Memang kita sentiasa memantau pergerakkan mereka, selain daripada mereka memantau kita, sebab itu bila sebarang operasi dilaksanakan, JIM akan menyusun strategi bagi mengelak dikesan oleh tonton- tonton inilah.

“Kalau kita dapat kenal pasti mereka, kita akan buat laporan kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan tapi ia bukan perkara yang mudah untuk mengesan kerana mereka  berselindung di sebalik pelbagai cara,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mengedarkan bubur lambuk pada program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menghadiri program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi penyerahan bubur lambuk kepada kakitangan dan pelanggan di sini hari ini.

Tambah Zakaria, ia termasuk melaporkan kesalahan anggota atau pegawia terlibat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya lagi, kegiatan tonto bukan perkara baharu dan ia  sering berlegar dalam semua agensi penguatkuasa di negara ini termasuk di Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan kegiatan tonto itu adlaah punca utama masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) serta koloni warga asing di negara ini masih belum dapat ditangani.

“Saya tidak boleh nak kata itu menjadi salah satu punca dan sebagainya kerana banyak faktor lain yang menyumbang kepada keadaan berkenaan.

“Tapi, sebahagian daripada isu ini mengekang usaha kita untuk menguatkuasakan undang-undang. Kadang-kadang mereka dapat mengetahui pergerakan kita lebih awal menyebabkan operasi kita gagal.

“Apabila kita sampai, mungkin mereka (PATI) sudah dapat menghidup pergerakan kita terlebih awal dan semuanya sudah menghilangkan diri.

“Jadi, usaha kita untuk membanteras, menangkap mereka yang melanggar peraturan itu tidak berhasil untuk hari berkenaan, kerana itu kita menyusun strategi agar pergerakan kita itu tidak dapat dikesan dibaca oleh sesiapa sahaja, pegawai kita sendiri juga tidak tahu pergerakan dan strategi operasi kita,” jelasnya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan SPRM telah memperoleh senarai nama pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket Tonto.

Penemuan itu difahamkan hasil soal siasat ke atas beberapa suspek utama yang ditahan dalam Ops Middleman yang dijalankan di beberapa negeri sejak kelmarin.

Siasatan mendapati, penguat kuasa terbabit menerima rasuah bulanan antara RM1,600 ke RM2,500 daripada orang tengah syarikat atau pemilik kenderaan perdagangan supaya tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast