Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika meninjau pelaksanaan Ops Khas Pagar Laut MARITIM Malaysia di Pusat Hidrografi Nasional, Lebuh Sungai Chandong, Pulau Indah. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 FEBRUARI 2026

PELABUHAN KLANG – Kementerian Dalam Negeri bersedia menyokong cadangan penggunaan senjata dalam kalangan  pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keperluan itu bagi memperkukuh aspek keselamatan terutama ketika melaksanakan tugasan di pintu masuk negara.

Jelasnya lagi, keperluan itu akan dinilai secara menyeluruh oleh kepimpinan AKPS berdasarkan risiko operasi serta ancaman semasa berada di lapangan.

“AKPS yang baru setahun (ditubuhkan), mereka berpeluang untuk menyusun atur keekuatan dan kesiapsiagaan berasaskan kepada cabaran semasa iaitu mereka punya prinsip.

“Tugasan mereka adalah melibatkan pengawalan dan penguatkusaan pergerakkan manusia serta barangan di 122 pintu masuk negara.

“Jadi kalau ingin meningkatkan soal keselamatan seluruh anggota AKPS, kalau ada keperluan mengguna pakai senjata dan sebagainya, saya serahkan sepenuhnya pada kepimpinan AKPS untuk susun atur.

“Saya dan Ketua Setiausaha KDN beri sokongan supaya agensi dapat menjalankan tugas dengan berkesan dan pada masa jaminan keselamatan terhadap pegawainya terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Op Khas Pagar Laut Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) di Perairan Selangor atas Kapal Maritim Tun Fatimah, hari ini.

Mengulas mengenai insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam, Saifuddin berkata satu sidang media khas akan dibuat oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, esok.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak menolak kemungkinan ada pihak terjejas susulan tindakan itu, sehingga mencetuskan risiko ancaman terhadap pegawai dan anggotanya.

Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, ancaman seperti itu telah dijangka dan beliau sendiri, semasa menyampaikan ucapan kepada komander-komandernya empat minggu lalu, sudah mengingatkan pegawai serta anggota agar berwaspada dengan sebarang ancaman dan ugutan jenayah.

Ujar Shuhaily lagi, Perdana Menteri ada menghubunginya dan meminta beliau memaklumkan kepadanya perkara-perkara yang dapat ditambah baik dalam agensi berkenaan.

“Antara perkara yang kita lihat di sini, pegawai-pegawai AKPS ini tidak dibekalkan dengan senjata api … itu satu skop yang mungkin boleh dibaiki dalam masa yang terdekat dan jaket kalis peluru serta perkara-perkara yang boleh menjamin keselamatan anak buah saya untuk bekerja dengan lebih selamat,” katanya.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast