Seorang murid perempuan berusia 12 tahun di Melaka berdepan detik hitam apabila disyaki dicabul sebelum ditinggalkan di kawasan semak dengan hanya berpakaian dalam berhampiran sekolahnya di Melaka, semalam.

MELAKA – Seorang murid perempuan berusia 12 tahun berdepan detik hitam apabila disyaki dicabul sebelum ditinggalkan hanya berpakaian dalam di kawasan semak berhampiran sekolahnya di sini semalam.

Lebih menyedihkan, ketika dijumpai kira-kira jam 7 malam, mangsa dalam keadaan terbaring di dalam semak sambil menangis akibat trauma dan ketakutan.

Menurut sumber, terdahulu kanak-kanak berkenaan disedari hilang oleh guru sekolah selepas mangsa tidak masuk ke kelas tambahan selepas tamat waktu persekolahan pada jam 1.05 tengah hari.

“Usaha mencari mangsa dilakukan sehinggalah semakan sistem kamera litar tertutup sekolah (CCTV) mendapati kelibat mangsa keluar dari kawasan sekolah sekitar waktu tengah hari.

“Hasil siasatan lanjut, mangsa memberitahu dia keluar sekolah pada waktu tengah hari selepas terlihat sebuah kereta seperti milik ibunya, namun beredar apabila mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki yang tidak dikenalinya,” katanya.

Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut apabila lelaki berkenaan bertindak mengejarnya menyebabkan dia berlari ke arah semak berhampiran untuk bersembunyi.

“Suspek bagaimanapun berjaya menjumpai kanak-kanak itu sebelum memintanya membuka pakaian sekolah memyebabkan mangsa yang ketakutan hanya berpakaian dalam.

“Selepas itu mangsa mendakwa, suspek menyentuh pipinya serta mengambil beberapa keping gambar menggunakan telefon bimbitnya sebelum beredar meninggalkan kawasan semak itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian dijumpai ahli keluarganya yang melakukan operasi mencari sekitar kawasan sekolah pada kira-kira jam 7 malam tadi sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian murid berkenaan ditemui dalam semak disyaki dicabul.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast