KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) terus melakar sejarah apabila mencapai kejayaan perubatan yang penting dengan menjadi hospital pertama di Asia yang menggunakan Sistem Pemetaan dan Ablasi Affera Prism-2 secara klinikal untuk rawatan fibrilasi atrium (AFib) iaitu sejenis gangguan irama jantung yang biasa.
Sistem elektrofisiologi baharu yang dilancarkan secara rasmi pada 9 Februari lalu menggabungkan perisian pemetaan jantung canggih dan teknologi ablasi dwi-tenaga dalam satu platform, membolehkan pakar merawat gangguan irama jantung yang kompleks dengan lebih ketepatan dan fleksibiliti.
Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Pengarah Klinikal Elektrofisiologi Intervensi dan Peranti Boleh Diimplan di IJN, Datuk Dr Azlan Hussin berkata, sistem elektrofisiologi bersepadu generasi akan datang ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara bagaimana gangguan irama jantung yang kompleks dirawat.
Menurut beliau, teknologi itu membolehkan pakar melakukan pemetaan jantung dengan lebih terperinci dan rawatan ablasi menggunakan kateter tunggal tanpa perlu menukar peranti semasa prosedur.
“Fibrilasi atrium selalunya menjadi lebih sukar untuk dirawat apabila ia berkembang. Integrasi perisian pemetaan canggih dengan teknologi ablasi dwi-tenaga membolehkan kami memperibadikan rawatan untuk setiap pesakit dengan lebih berkesan.
“Akhirnya, ini meningkatkan hasil dan menawarkan harapan baharu untuk individu yang hidup dengan gangguan irama jantung yang berterusan,” kata dalam satu kenyataan di sini.

Dr Azlan berkata, integrasi itu meningkatkan dengan ketara kecekapan prosedur, apabila kes rumit yang biasanya mengambil masa antara empat setengah hingga lima jam kini dapat diselesaikan hanya dalam satu hingga dua jam.
IJN, katanya, telah lama melakukan rawatan fibrilasi atrium, dengan menambah bahawa rawatan invasif pertama untuk penyakit itu di negara ini diperkenalkan di institut tersebut.
“Rawatan kini telah memasuki fasa baharu, yang mana sumber tenaga lebih baharu digunakan untuk memastikan pesakit bukan sahaja menerima terapi yang berkesan tetapi juga lebih selamat dan sesuai,” katanya.
Dr Azlan memberitahu, pencapaian penting itu mengukuhkan kedudukan IJN sebagai pusat rujukan serantau untuk prosedur elektrofisiologi canggih dan menonjolkan usaha berterusannya untuk membawa inovasi perubatan yang diiktiraf di peringkat global ke Malaysia.
“Sebagai institut jantung kebangsaan Malaysia, IJN kekal komited untuk memastikan pesakit mendapat manfaat daripada kemajuan perubatan terkini, disokong oleh kepakaran khusus dan kemudahan bertaraf dunia,” katanya.
Sejak sistem itu dilancarkan pada awal Februari ini, IJN telah berjaya merawat 11 pesakit, termasuk kes yang diberikan subsidi kerajaan dan swasta.
Kesemua 11 prosedur telah berjaya diselesaikan tanpa komplikasi, dan pesakit dibenarkan keluar pada keesokan harinya. – MalaysiaGazette
















