Imigresen menahan 10 warga asing selepas melakukan serbuan di beberapa premis perniagaan dan bazar Ramadan di Segamat semalam.

SEGAMAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 10 warga asing selepas melakukan serbuan di beberapa premis perniagaan dan bazar Ramadan sekitar daerah ini semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai dari Unit Penguat Kuasa JIM Cawangan Segamat melakukan operasi bermula pada pukul 9 pagi selepas mendapat maklumat awam dan risikan.

“Ops Selera, Ops Kutip, dan Ops Jaja yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan dan bazar Ramadan ini berjaya menahan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita menyasarkan sektor-sektor perniagaan seperti premis menjual perabot, bazar Ramadan, premis perniagaan dan makanan yang dikenal pasti menggaji atau melindungi PATI,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seramai 10 warga asing di tahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, mereka yang ditahan seorang lelaki dewasa warganegara India, dua lelaki dewasa Bangladesh, seorang lelaki dewasa Pakistan, seorang lelaki dewasa Indonesia, seorang lelaki dewasa Kemboja dan empat perempuan dewasa Indonesia

Jelasnya, mereka dipercayai bekerja di premis terbabit berusia dalam lingkungan 17 tahun hingga 53 tahun.

Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

Menurut beliau, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tambahnya, sebanyak dua keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan

“JIM Johor akan terus mengesan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal di Malaysia dan bekerja di negara ini.

“Selaras dengan aspirasi Madani, jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit kerja yang sah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast