Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei tidak layak malah tiada integriti untuk mendesak Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Albert tidak perlu berlagak suci malah desakannya itu hanya satu sandiwara politik dangkal dan sarat dengan ironi.

“Albert yang dijemput sebagai penceramah himpunan Turun Azam Baki di hadapan ibu pejabat SPRM pagi tadi hanya menimbulkan persoalan terhadap motif sebenar di sebalik penganjuran himpunan berkenaan.

“Rakyat sememangnya mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan hak tersebut dijamin oleh undang-undang.

“Namun pemilihan penceramah juga mencerminkan kredibiliti dan keseriusan sesuatu perhimpunan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Albert yang menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di hadapan ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat Azam yang memiliki jutaan saham.

Sebelum ini, Albert terpalit dengan cubaan memonopoli lesen mineral di Sabah di mana lebih 10 lesen telah diluluskan kepada syarikat yang dikaitkan dengan beliau.

Zulkarnain juga mempersoalkan kredibiliti Albert sebagai salah seorang penceramah himpunan tersebut sedangkan ahli perniagaan itu sendiri pernah didakwa di Mahkamah Sesyen kerana memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Seseorang yang dibayangi pertuduhan dan dakwaan sedemikian tidak mempunyai kedudukan moral untuk mendesak mana-mana penjawat awam meletakkan jawatan.

“Isu integriti institusi negara adalah perkara serius dan tidak wajar dijadikan pentas membina semula reputasi peribadi.

“Perjuangan menegakkan kedaulatan undang-undang mesti konsisten dan tidak bersifat terpilih,” katanya.

Sehubungan itu, kata Zulkarnain lagi, sebarang dakwaan salah laku hanya boleh ditentukan melalui proses siasatan dan perundangan yang sah serta bebas, bukan melalui tekanan politik, retorik emosi atau pembentukan persepsi semata-mata.

“Malaysia memerlukan kestabilan institusi, bukan polemik yang digerakkan oleh individu yang kredibilitinya sendiri masih dipersoalkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast