Wan Shaharuddin Wan Ladin

KUALA LUMPUR – Timbalan pendakwa raya berpengalaman, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta tiada pihak membuat spekulasi berhubung perpindahan beliau dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Peguam Negara (AGC), Isnin ini.

Pengarah Perundangan dan Pendakwaan SPRM itu berkata, beliau dipindahkan semula ke jabatan itu tanpa penurunan pangkat dan akan memikul tugas seperti biasa.

Ketika ditanya wakil media, Wan Shaharuddin menyatakan beliau difahamkan `jawatan terapung’ itu merupakan jawatan baharu.

“Saya sudah tujuh tahun di SPRM, saya buat kerja lillahi taala untuk kerajaan dan terhadap amanah yang diberikan. Saya masih bawa kes kepentingan awam seperti kes Lim Guan Eng di mahkamah hari ini.

“Tiada apa-apa, jangan speculate, saya pergi dengan pangkat yang sama, mungkin (perpindahan ini) ada benda yang lebih baik selepas ini.

“Saya juga diarahkan mengendalikan kes Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rayuan kepentingan awam,” ujarnya ketika ditemui wakil media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau hadir mengetuai pasukan pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri, Guan Eng.

Wan Shaharuddin Wan Ladin (tengah) bergambar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama sebahagian pasukan pendakwaan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng. 27 FEBRUARI 2026.

Wan Shaharuddin mengulas pertukaran beliau ke jawatan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, AGC selepas menerima surat pertukaran bertarikh 24 Februari lalu yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar.

Dua hari lalu, Mohd. Dusuki menjelaskan, pertukaran beliau ke AGC tidak menjejaskan kes yang sedang dikendalikannya ketika berkhidmat di SPRM.

Beliau memaklumkan, pertukaran pegawai adalah perkara biasa dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan pengalaman, kesinambungan kepimpinan serta pengukuhan kapasiti organisasi.

Mengulas lanjut, Wan Shaharuddin berkata, selain perbicaraan kes rasuah, beliau turut diarah mengendalikan rayuah kes berprofil tinggi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menjawab soalan wakil media, beliau mengakui berat untuk meninggalkan SPRM namun perlu menghadapinya demi perkembangan karier.

“Berat memang berat namun saya tidak boleh duduk selama-lamanya di SPRM. Saya ada lima tahun lagi untuk berkhidmat dan tidak boleh pentingkan diri sendiri dan duduk dalam zon selesa,” ujarnya.

Kepada soalan sama ada perpindahan itu dilakukan dalam tempoh yang singkat, beliau berkata, pihaknya akur dengan arahan Peguam Negara kerana ia merupakan arahan biasa selain sudah mengemaskan barang untuk berpindah ke AGC.

Wan Shaharuddin turut menasihatkan anak-anak buahnya di SPRM supaya bekerja dengan ikhlas dan jujur dan mengutamakan keluarga.

Beliau turut ditanya hubungannya dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan integriti agensi itu yang dihujani dengan tanggapan negatif.

“Nama pun tanggapan, jika ada bukti, kemukakan bahawa SPRM buat benda bukan-bukan. Kita mahu hard evidence bukan laporan Bloomberg. Bring it on, show us.

“Alhamdulillah hubungan saya dengan Tan Sri Azam macam biasa, saya doakan urusan beliau dipermudahkan. Berilah ruang untuk beliau perjelaskan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast