Shamsul Ahmad

KUALA LUMPUR – Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Mac 2026.

Beliau menggantikan Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2026 selepas berkhidmat sebagai Presiden dan CEO sejak Mac 2024.

Shamsul kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Peraturan dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, memainkan peranan penting dalam membentuk landskap peraturan industri serta mengukuhkan keyakinan pemegang taruh bagi menyokong aspirasi jangka panjang TNB.

Dengan lebih 37 tahun perkhidmatan di TNB, beliau membawa pengalaman kepimpinan yang luas merangkumi pelbagai portfolio.

TNB dalam kenyataan berkata, sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pengarah Urusan TNB Fuel Sdn. Bhd. dan sebelum itu mengetuai TNB Janamanjung Sdn. Bhd. selama satu dekad.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari North Carolina A&T State University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tenaga Nasional.

“Lembaga Pengarah turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Ir. Ts. Shamsul atas pelantikan ini dan yakin bahawa pengetahuan institusi yang mendalam, kepakaran peraturan serta pengalaman operasi beliau akan memastikan kesinambungan, memacu transformasi dan terus mengukuhkan peranan TNB sebagai juara tenaga nasional Malaysia serta penyedia utama penyelesaian tenaga mampan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Lembaga Pengarah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Ir. Megat Jalaluddin atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kecemerlangan operasi, daya tahan kewangan serta penciptaan nilai jangka panjang TNB.

“Di bawah kepimpinan beliau, TNB mengukuhkan asas teras syarikat di samping mempercepatkan agenda Peralihan Tenaga bagi menyokong aspirasi sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” menurut syarikat utiliti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast