Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan dua yang lain gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membayar balik wang kutipan tiket penerbangan jemaah umrah sebanyak RM492,480 kepada sebuah syarikat pelancongan.

Perkara tersebut diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas menolak rayuan Ketua Umno Bahagian Kangar itu serta Sekh Fazzli Sekh Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff. Mereka turut diperintah membayar kos RM20,000.

Ketiga-tiganya merupakan pengarah Rehla Travel Services Sdn. Bhd. (Rehla) yang disaman syarikat pelancongan, KRS Travel Sdn. Bhd. bagi menuntut pembayaran balik wang kutipan tiket penerbangan sebanyak RM492,480.

Hakim Leong Wai Hong dalam keputusannya berpendapat, sikap tamak ketiga-tiganya melakukan penipuan dalam kutipan bayaran perjalanan jemaah umrah ke Mekah, sebagai menyedihkan.

Beliau berpendirian, sifat tersebut mengatasi keperluan kerohanian pelanggan syarikat KRS Travel yang telah membuat bayaran mengerjakan umrah.

Ujar hakim, ketiga-tiga perayu mengaku menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi, namun tidak memulangkannya seperti yang diminta.

Hakim Wai Hong bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa mereka telah melakukan penipuan apabila enggan memulangkan kira-kira RM500,000 yang dikutip daripada jemaah umrah.

“Tiada mana-mana mahkamah di negara ini akan membenarkan seseorang mendapat keuntungan yang diperolehnya melalui penipuan,” ujar beliau.

Dalam keputusan bertarikh 9 Disember tahun lalu, beliau bersetuju bahawa dapatan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Yasmin Abdul Razak adalah bersandarkan fakta selepas mendengar keterangan semua saksi.

“Mahkamah ini seharusnya tidak campur tangan dalam dapatan tersebut tanpa alasan munasabah,” katanya ketika menolak rayuan mereka bertiga.

Mereka kemudian memfailkan rayuan akhir ke Mahkamah Rayuan pada 8 Januari lalu.

Hakim juga mengambil maklum bahawa trio tersebut kemudian memohon untuk membatalkan nama Rehla daripada daftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).  Syarikat itu tidak lagi beroperasi.

Permohonan itu dibuat di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat untuk menghalang KRS Travel daripada meneruskan tindakan undang-undang terhadap Rehla.

Ketiga-tiganya merayu keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati mereka bertiga melakukan penipuan dan memerintahkan mereka membayar penghakiman berjumlah RM492,480 kepada KRS Travel.

Menurut fakta kes, Rehla beroperasi sebagai syarikat agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan aktiviti berkaitan. Ia juga merupakan ejen tiket bagi Malaysia Airlines Bhd (MAB) sejak 2019.

Pada Februari 2020, KRS Travel menggunakan khidmat Rehla untuk mencari dan membeli tiket penerbangan ke Madinah dan Jeddah bagi pelanggannya yang ingin menunaikan umrah ke Mekah.

KRS Travel membayar RM492,480 kepada Rehla bagi tujuan tersebut. Sebagai ejen tiket MAB, Rehla kemudian membayar syarikat penerbangan itu untuk pembelian tiket berkenaan.

Lantaran pandemik Covid-19, tiket yang dibeli oleh KRS Travel dibatalkan oleh MAB. Rehla juga menghentikan operasi dalam tempoh tersebut.

Syarikat penerbangan itu kemudian membayar kira-kira RM1.3 juta kepada Rehla sebagai penyelesaian, termasuk RM492,480 yang dibayar oleh KRS Travel.

KRS Travel menegaskan, RM492,480 daripada jumlah yang dibayar kepada Rehla sepatutnya dikembalikan kepada pelanggannya, iaitu para jemaah.

Bagaimanapun, tiga pengarah Rehla tersebut berpendirian  Rehla hanya ejen tiket bagi MAB dan KRS Travel sepatutnya membuat tuntutan secara terus dengan syarikat penerbangan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.