Siti Rohani (kanan) membuat pemeriksaan keatas hos bomba yang terdapat di Pasaraya Kluang Mall, Kluang hari ini..

KLUANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor melancarkan kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam sempena sambutan Tahun Baru Cina serta Hari Raya Aidil Fitri di sini hari ini.

Kempen Siap Siaga Raya itu bersempena dua perayaan iaitu Tahun Baru Cina yang sedang diraikan serta Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir berkata, kempen itu sebagai langkah meningkatkan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang bencana yang berlaku samada di kediaman ataupun tempat-tempat awam.

“Melalui kempen ini, pihak bomba melaksanakan pemeriksaan serta penguatkuasaan keselamatan kebakaran ke atas premis-premis yang menjadi tumpuan orang awam termasuk pusat beli-belah di negeri Johor ini.

“Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan peralatan dan sistem keselamatan kebakaran berada dalam keadaan berfungsi dengan baik di samping mengenal pasti sebarang potensi bahaya kebakaran yang mampu menjejaskan keselamatan penghuni dan orang awam,” katanya.

Siti Rohani berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidil Fitri 2026 di Pasaraya Kluang Mall di sini hari ini.

Katanya, musim perayaan lazimnya menyaksikan peningkatan aktiviti memasak, penggunaan peralatan elektrik dan gas secara intensif selain pergerakan keluar masuk kediaman lebih kerap.

Situasi itu ujarnya, secara tidak langsung mampu meningkatkan risiko kebakaran sekiranya aspek keselamatan diabaikan.

Justeru kata beliau, kesedaran keatas tahap keselamatan dan kesediaan orang ramai perlu dipertingkat samada ketika berada di rumah ataupun mahu meninggalkan kediaman,” katanya.

Menurut beliau lagi, antara pengisian utama kempen itu adalah sesi penerangan oleh pegawai JBPM, demonstrasi penggunaan alat pemadam api selain tipis keselamatan yang mudah difahami dan boleh diamalkan orang ramai.

“Melalui pendekatan ini, kami berharap mesej keselamatan dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan memberi impak berpanjangan kepada orang ramai,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast