JOHOR BAHRU – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) akan mengumumkan satu angka yang lebih menakjubkan selepas negeri ini berjaya mendapat pelaburan yang tertinggi dalam negara setakat ini pada 2025.
Menteri Besar, Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan pencapaian itu adalah satu permulaan hasil bantuan semua pihak daripada kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan di peringkat negeri.
“Angka yang kami telah rekodkan pada September tahun lepas berjumlah 91 bilion. Tapi insya-Allah tidak lama lagi akan diumumkan satu angka yang lebih menakjubkan yang bakal diumumkan oleh menteri berkenaan.
“Ini baru saja satu permulaan. Ada banyak lagi usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif yang bakal dilancarkan seperti yang disebutkan oleh Menteri Ekonomi yang baharu.
“Jadi tidak lama lagi Menteri Ekonomi akan mengumumkan master plan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menerusi master plan itu akan diumumkan pelbagai inisiatif dan usaha-usaha untuk mempergiatkan lagi kegiatan ekonomi dalam JS-SEZ.
“Segala usaha inisiatif ini insya-Allah akan memberi manfaat bukan saja kepada ekonomi negeri tetapi lebih utama untuk Bangsa Johor daripada segi peluang pekerjaan dan juga kegiatan ekonomi ataupun peluang-peluang perniagaan.
“Jadi sama-sama kita nantikan pengumuman yang bakal diumumkan kelak. Kita berada di satu landasan yang cukup betul untuk kemajuan para ibu bapa di Johor, percayalah akan ada peluang pekerjaan untuk anak-anak anda untuk merealisasikan impian mereka di kampung halaman,” ujarnya.
Begitu juga katanya, syarikat dan pengusaha tempatan akan ada peluang untuk melibatkan diri dalam rantaian global dan rantaian bekalan syarikat antarabangsa
“Kepada Bangsa Johor secara amnya, percayalah kita berada di satu landasan yang cukup betul Maju Johor 2030,” katanya.- MalaysiaGazette
















