KUALA LUMPUR – Perkhidmatan e-Filing bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Saraan 2025 dan Tahun Taksiran 2025, dibuka mulai esok.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan memaklumkan, mulai esok nombor kad pengenalan ditetapkan sebagai nombor pengenalan bagi pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS untuk urusan percukaian termasuk untuk mengakses ke portal MyTax.
Katanya, bagi anggota tentera atau polis yang menggunakan nombor tentera atau polis bagi mengakses portal MyTax perlu mendaftar semula sijil digital individu menggunakan nombor kad pengenalan awam.
“Pilih nombor MyKad/MyPR/MyKAS dan input nombor kad pengenalan sewaktu log masuk dan ikut arahan selanjutnya di skrin,” menurut kenyataan hari ini.
LHDN menyarankan pembayar cukai menggunakan perkhidmatan e-Filing menerusi portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi LHDN https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.
“Ejen cukai pula hendaklah menggunakan platform Tax Agent e-filing System (TAeF) yang boleh diakses melalui portal MyTax untuk tujuan berkenaan.
“Pembayar cukai hendaklah memastikan mereka mempunyai peranan di MyTax yang berkaitan bagi membolehkan pengemukaan BN melalui e-Filing,” katanya.
Kegagalan mengemukakan BN serta melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang dibenarkan boleh menyebabkan pembayar cukai dikenakan tindakan di bawah subseksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967
“Pembayar cukai dinasihatkan membuat persediaan awal dengan mengumpulkan dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan cukai pendapatan untuk memfailkan BN Tahun Taksiran 2025,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















