MOSCOW – Rusia mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran dan memberi amaran ia boleh mencetuskan “malapetaka” di rantau itu, selain menggesa rakyatnya meninggalkan Iran dan Israel.
Tehran muncul sebagai antara sekutu terdekat Rusia semasa operasi ketenteraan Moscow di Ukraine, dan Kremlin sejak kebelakangan ini menyeru semua pihak supaya menahan diri di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak serta laporan kemungkinan campur tangan AS di Iran.
“Washington dan Tel Aviv sekali lagi memulakan satu ‘pengembaraan’ berbahaya yang dengan pantas membawa rantau ini ke ambang malapetaka kemanusiaan, ekonomi dan ini tidak boleh diketepikan — radiologi.
“Iltizam pihak penceroboh adalah jelas dan dinyatakan secara terbuka: untuk memusnahkan susunan perlembagaan dan menggulingkan kerajaan sebuah negara yang dianggap tidak diingini, kerana enggan tunduk kepada tekanan kuasa dan hegemoni,” kata Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, tanggungjawab terhadap krisis buatan manusia ini, termasuk tindak balas berantai yang tidak dapat diramalkan dan peningkatan keganasan yang berterusan, terletak sepenuhnya di bahu mereka,” kata kementerian itu lagi.
Rusia turut menyatakan kesediaannya untuk “menyumbang kepada usaha mencari penyelesaian aman” yang “berasaskan undang-undang antarabangsa, saling menghormati dan keseimbangan kepentingan.”
Moscow telah menggesa rakyat Rusia meninggalkan Iran dan mengeluarkan amaran serupa kepada warganya di Israel.
Pada 2025, Rusia dan Iran menandatangani perjanjian perkongsian strategik bagi mengukuhkan hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ketenteraan.
Kyiv dan sekutu Baratnya menuduh Republik Islam Iran membekalkan dron Shahed dan peluru berpandu jarak dekat kepada Rusia untuk kegunaannya dalam operasi ketenteraan di Ukraine. – Agensi
















