KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar meneliti pelaksanaan Pengeluaran Khas Aidilfitri daripada akaun Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar dan bersyarat kepada mereka yang benar-benar terkesan dengan tekanan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia boleh dilakukan tanpa menjejaskan jaminan simpanan persaraan masa hadapan para pencarum.
Dalam masa sama, beliau memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula supaya agihan dividen KWSP tahun lalu dapat dimanfaatkan secara lebih langsung melalui penyaluran ke Akaun 3 khususnya kepada pencarum yang memerlukan.
“Adalah lebih baik isu ini dibahaskan secara menyeluruh di Dewan Rakyat agar semua Ahli Parlimen dapat mengemukakan pandangan, cadangan serta pendekatan terbaik demi memastikan keputusan yang diambil benar-benar berpihak kepada kepentingan rakyat dan masa depan pencarum,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, beliau akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) pada Isnin ini, bagi membolehkan perkara itu dibincangkan secara rasmi di Parlimen.
“Selain itu, saya akan menggerakkan himpunan di seluruh negara untuk turun sendiri mendengar luahan dan pandangan rakyat berkaitan isu ini,” katanya.
Minggu lalu, pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Shahidan menyeru kerajaan memasukkan 100 peratus dividen KWSP ke dalam Akaun 3 bagi meringankan beban rakyat.
Menurutnya, tuntutan itu hanya melibatkan dividen tahunan hasil pelaburan KWSP, bukan caruman asal atau pengeluaran simpanan pokok.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak seharusnya menggunakan hujah keselamatan persaraan sebagai alasan menolak permintaan rakyat.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn hari ini menjelaskan, Akta KWSP tidak membenarkan dividen daripada akaun lain dimasukkan ke akaun lain dan pembahagian dividen dikira berdasarkan baki terakhir setiap akaun pencarum.
Terdahulu, KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus untuk kedua-dua simpanan konvensional dan syariah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. – MalaysiaGazette

















KWSP adalah simpanan untuk hari tua.
pemimpin perlu memberi penjelasan keoada rakyat agar tidak diperdaya dengan dakyah songsang mengenai KWSP