Oleh ABU MUSLEH
Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW hadir bukan sekadar sebagai sistem ibadah ritual, tetapi sebagai projek peradaban yang bertujuan menyelamatkan manusia daripada kezaliman manusiaitu sendiri.
Misi kenabian Baginda adalah untuk menyatukan umat manusia di bawah naungan kalimah tauhid, meruntuhkan tembok kasta dan perkauman, serta membina persaudaraan yang berteraskan takwa dan akhlak.
Justeru, antara tugas besar Rasulullah SAW ialah mencantas saki-baki budaya Jahiliyyah yang merosakkan struktur sosial termasuklah ‘asabiah melampau, khurafat, riba, dan tidak terkecuali budaya pelabelan serta cacian yang menghancurkan maruah manusia.
Sejarah berulang
Namun sejarah yang sepatutnya menjadi pengajaran itu seakan berulang dalam bentuk yang lebih licik dan terselindung. Apa-apa yang dahulu dizahirkan secara kasar dan terang-terangan, kini muncul dalam wajah baharu yang lebih “bertamadun”, lebih tersusun, dan lebih berbahaya, iaitu dikenali sebagai takfiri halus. “
Ia tidak lagi hadir sebagai pengkafiran terbuka, tetapi sebagai label yang menyentuh akidah, moral dan kesetiaan agama, dilemparkan dengan tenang dan penuh keyakinan, kononnya atas nama kebenaran dan perjuangan Islam.
Ironinya, dalam era yang sering melaungkan slogan politik matang, lisan umat Islam masih belum benar-benar merdeka daripada belenggu pemikiran kuni berunsur Jahiliyyah. Bezanya, jika dahulu makian dan ancaman dizahirkan tanpa berselindung, kini serangan dilakukan melalui istilah yang kelihatan kononnya bersifat “ilmiah” dan “berwibawa”.
Suka melabel
Label seperti liberal, munafik, musuh Allah, kafir harbi, atau musuh Islam digunakan dengan begitu mudah terhadap saudara seagama hanya kerana perbezaan ijtihad, pendirian politik atau pendekatan dakwah. Inilah wajah baharu kezaliman lisan, halus, tersusun, dan sering disambut dengan tepukan penyokong yang walak tanpa kritis.
Al-Quran sejak awal telah meletakkan garis merah yang jelas dalam perkara ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 11 bukan sekadar larangan etika, tetapi satu perintah sosial yang tegas. Allah melarang umat beriman daripada mencemuh, mencela, dan memanggil dengan gelaran yang buruk, malah menegaskan bahawa seburuk-buruk panggilan ialah gelaran kefasikan selepas iman. Aspek ini menunjukkan bahawa maruah seorang Muslim bukan perkara remeh, dan pelanggaran terhadapnya adalah dosa yang membawa implikasi besar di sisi Allah.
Tafsiran ulama tafsir
Para ulama tafsir termasuk Imam Mujahid, Imam Qatadah dan Ibnu Zaid, menjelaskan bahawa larangan “wala tanabazu bil-alqab” mencakupi perbuatan melabel seorang Muslim dengan panggilan kafir atau label yang membawa makna seumpamanya. Tafsiran ini sangat signifikan, kerana ia menutup pintu kepada segala bentuk pentakfsiran sama ada secara terang atau tersirat. Justeru, sesiapa yang menyangka bahawa label “sekadar istilah politik” atau “bahasa keras perjuangan” tidak membawa dosa, sebenarnya sedang mempermainkan batas syarak.
Lebih membimbangkan, budaya melabel ini sering dipromosikan sebagai tanda ketegasan agama. Sesiapa yang tidak melabel dianggap lemah, “syaitan bisu”, atau tidak berani menyatakan kebenaran. Namun persoalannya, kebenaran yang mana? Adakah kebenaran itu diukur melalui wahyu dan adab Rasulullah SAW, atau melalui emosi kelompok dan kepentingan politik semasa? Apabila label dilemparkan tanpa disiplin ilmu dan hikmah, ia bukan lagi amar makruf nahi mungkar, tetapi manifestasi nafsu yang dibungkus dengan slogan agama.
Inilah yang menjadikan takfiri halus jauh lebih berbahaya daripada takfiri terbuka. Ia menyusup ke dalam wacana umum tanpa disedari, merosakkan hubungan sosial, memecahkan umat, dan menormalisasikan penghinaan sesama Muslim. Lebih parah, ia sering dimaafkan atas alasan “niat baik” atau“demi agama”, sedangkan Islam tidak pernah menghalalkan dosa lisan atas nama niat.
Perlu lebih berhati-hati
Rasulullah SAW telah mengingatkan umatnya tentang bahaya dosa-dosa yang dianggap kecil. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Baginda menegaskan agar berhati-hati dengan perbuatan yang dipandang remeh, kerana ia tetap akan dipersoalkan di hadapan Allah.
Dalam konteks ini, melabel orang lain sebagai liberal, munafik atau musuh Islam sering dianggap perkara biasa dalam perbahasan politik dan media sosial. Namun di sisi syarak, ia adalah dosa besar kerana melibatkan maruah, sangkaan buruk, dan potensi fitnah terhadap akidah seseorang.
Lebih luas lagi, budaya pelabelan ini tidak hanya merosakkan hubungan sesama Muslim, tetapi turut memberi kesan besar kepada imej Islam di mata masyarakat bukan Islam. Islam diperintahkan untuk berdakwah dengan hikmah dan akhlak yang mulia.
Apabila umat Islam sendiri gagal memelihara lisan, gemar mencaci dan melabel, maka bagaimana mungkin Islam dapat ditampilkan sebagai agama rahmat dan kedamaian? Setiap kata yang lahir daripada lisan seorang Muslim bukan sahaja mencerminkan peribadinya, tetapi turut menjadi cerminan agamanya.
Lebih jujur dan berani bermuhasabah
Di sinilah perlunya umat Islam bersikap lebih jujur dan berani bermuhasabah. Berpolitiklah dengan strategi dan kebijaksanaan, tetapi jangan sekali-kali sehingga melampaui batas kewarasan dan akhlak Islam.
Prinsip tidak boleh dikorbankan demi kepentingan jangka pendek, dan agama tidak boleh dijadikan alat untuk menewaskan lawan. Lebih berbahaya lagi apabila ayat-ayat al-Quran dan hadis hanya dihalakan kepadap ihak lawan, sedangkan diri dan kelompok sendiri seolah-olah kebal daripada teguran wahyu.
Jauhi sikap selektif
Sikap selektif dalam beragama inilah yang menjadi akar kepada kerosakan sosial. Ia melahirkan generasi yang lantang menghukum, tetapi miskin adab, kaya denganslogan, tetapi cetek kefahaman. Akhirnya, Islam yang sepatutnya menyatukan berubah menjadi faktor perpecahan, bukan kerana ajarannya, tetapi kerana cara ajaran itu diperalatkan.
Sesungguhnya, agama Allah bukan hak eksklusif mana-mana kumpulan, parti atau ideologi. Islam tidak dimiliki oleh satu mazhab politik atau satu aliran pemikiran. Iamilik seluruh umat manusia, membawa mesej rahmatanlil ‘alamin. Apabila agama ini disempitkan untuk memenuhi kepentingan kelompok, maka kita bukans edang mempertahankan Islam, tetapi sedang mengkhianatinya secara halus.
Kesimpulannya, takfiri halus adalah wajah moden Jahiliyyah yang perlu ditentang dengan ilmu, adab dan ketegasan moral. Ia mesti dibongkar bukan dengan makian balas, tetapi dengan kesedaran bahawa setiap kata akan dipersoalkan.
Umat Islam tidak akan bangkit dengan melabel, tetapi dengan memperbaiki akhlak, mematangkan wacana, dan mengembalikan politik serta dakwah kepada neraca hikmah. Jika tidak, kita hanya akan mewarisi semula kehancuran yang pernah memusnahkan masyarakat Jahiliyyah dengan nama dan wajah yang berbeza, tetapi dengan dosa yang sama.
—Abu Musleh ialah pendakwah bebas bertauliahlulusan Timur Tengah, menjalani tempoh pengajian universiti dan talaqqi selama 9 tahun di beberapanegara arab. Beliau banyak memerhati secara dekatperjalanan gerakan dakwah dan politik di Timur Tengah yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan.
















