Oleh Awang Azman Awang Pawi
Langkah Rafizi Ramli yang memberi bayangan baru-baru ini untuk bertanding secara solo di Pandan seolah-olah beliau sudah bersedia dengan sikap dan tindakannya itu. Sejak tewas pemilihan timbalan presiden, sikap dan tindakan Rafizi semakin agresif dalam politik, seolah-olah boleh tidak boleh bergerak ke depan dengan kekalahan beliau tersebut. Atau pun, sekurang-kurang sudah tertutup pintu untuk peluang pemilihan akan datang untuk menebus kekalahan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR.
Apa pun keputusan hampir tidak menggunakan tiket parti membuka satu bab penting dalam dinamika politik Malaysia menjelang PRU16. Ia bukan sekadar soal satu kerusi Parlimen, tetapi menyentuh persoalan lebih besar tentang identiti politik, idealisme reformasi dan had sikap berpolitik dalam kerangka parti.
Isu ini wajar dilihat secara rasional. Adakah ia tindakan strategik, manifestasi keyakinan peribadi, atau gabungan kedua-duanya? Mahu pun terlalu yakin untuk menang besar akibat sokongan ramai netizen di media sosial.
Antara politik personaliti dan politik kepartian
Dalam sistem politik Malaysia yang sangat berteraskan parti dan gabungan, calon bebas lazimnya berdepan kekangan besar kekurangan jentera, sumber kewangan terhad dan kesukaran menyelaras operasi pilihan raya. Tanpa simbol parti yang kukuh, laluan ke kemenangan menjadi lebih mencabar.
Namun bukan tidak ada calon bertanding bebas kalah. Di Sabah dalam PRN baru-baru ini terdapat lima calon bebas menang pilihan raya. Selain itu, contoh klasik ialah Shahrir Abdul Samad pernah menang PRK Johor Bahru sebagai calon bebas.
Yang paling tersohor ialah Cikgu Jabar pernah cipta sejarah negara apabila berjaya menjadi wakil rakyat Bebas sebanyak tiga penggal sejak tahun 1974 hingga 1986 di DUN Batu Laut. Yang menang calon bebas ini ialah dikenali sangat mesra dengan akar umbi khususnya kalangan orang Melayu.
Situasi Pandan
Namun Pandan pula dianggap bukan kerusi biasa. Ia kawasan bandar, kelas menengah dan cakna maklumat. Di sinilah Rafizi membina reputasi sebagai arkitek strategi pilihan raya dan pencipta pelbagai formula politik khususnya pada zaman beliau dalam pembangkang.
Dijangka, sekiranya ada kerusi yang mampu menguji kekuatan jenama individu, Pandan ialah medan paling sesuai untuk diuji keberkesanan calon bebas.
Namun hakikatnya, perlu diingat bahawa kemenangan terdahulu tidak hanya bersandar pada personaliti, tetapi juga kekuatan gabungan dan struktur organisasi. Tanpa sokongan penuh jentera parti, risiko perpecahan undi amat tinggi.
Isyarat terhadap Arah Tuju PKR
Bayangan bertanding solo juga membawa mesej tidak langsung terhadap hala tuju Parti Keadilan Rakyat. PKR hari ini bukan lagi gerakan reformasi jalanan semata-mata, tetapi parti pemerintah yang terikat dengan realiti pentadbiran dan kompromi kuasa.
Ketegangan antara idealisme dan pragmatisme adalah lumrah bagi parti yang beralih daripada pembangkang kepada kerajaan. Jika wujud kecenderungan untuk mengambil pendekatan berasingan, ia mungkin mencerminkan perbezaan pandangan terhadap gaya kepimpinan, rentak reformasi dan ruang perbezaan suara dalam parti.
PKR diuji apabila menjadi kerajaan. PKR juga diuji oleh sikap ahli dan pemimpin PKR sendiri antara idealisme, realiti politik, dan pertarungan kuasa dalaman parti sendiri. Sejarah parti politik dengan nama seperti Mohamad Ezam Mohd Noor, Azmin Ali, Kamarudin Jaffar, Kamarudin Md Noor adalah antara nama yang pernah berada rangkaian terdekat Anwar kemudian meninggalkan PKR. Sudah pasti Rafizi akan membuktikan nasib politiknya akan berbeza dengan bekas sekutu politiknya itu.
Persepsi Terhadap Gaya Politik
Namun dalam politik, persepsi sering kali sama penting dengan prinsip. Rafizi selama ini dikenali sebagai tokoh yang berani dan berterus terang. Keberanian itu menjadikan beliau relevan. Namun pada masa yang sama, pendekatan yang kerap dilihat tegas, ‘sentiasa betul’, konfrontasional dan bersifat kontroversial boleh menimbulkan tafsiran berbeza dalam kalangan rakan politik dan pengundi.
Sebahagiannya boleh dianggap sebagai gaya komunikasi yang terlalu yakin dan bersifat polemikal kadangkala memberi gambaran seolah-olah ruang muafakat menjadi lebih sempit. Dalam politik yang menuntut kesepaduan dan kesabaran, pendekatan yang dilihat terlalu menonjolkan diri keterlaluan secara terbuka boleh disalah tafsir sebagai kurang merendah diri.
Politik bukan hanya soal kecerdasan, tetapi juga seni mengurus persepsi, menghormati lebih muda dan sebaya serta menyayangi orang tua, membina empati dan menghormati hierarki serta rakan seperjuangan. Tokoh-tokoh seperti Johari Abdul Ghani dan Mohamad Hasan sering dijadikan contoh bahawa kecerdasan politik lebih mudah diterima apabila disertai sikap rendah hati dan penghormatan terhadap orang lain.
Dalam konteks ini, cabaran utama bagi Rafizi bukan sekadar memenangi kerusi, tetapi mengekalkan keseimbangan antara keyakinan diri dan kebijaksanaan sosial. Politik memerlukan daya tahan jangka panjang dan daya tahan itu sering terikat kepada kemampuan membina jaringan sokongan kawasan, bukan sekadar kehebatan idea.
Demografi parlimen
Di parlimen Pandan yang mempunyai pengundi bumiputera mewakili sekitar 51 peratus, Cina 40 peratus dan India sekitar 7 peratus, sudah pasti ia akan mencetuskan pilihan kepada pengundi sama ada terus memilih parti PKR dan PH, atau pun memilih individu calon bebas.
Sudah pasti demografi penduduk yang terdiri daripada profesional bandar dan kelas menengah, pengundi muda yang skeptikal terhadap politik tradisional, otai reformis akan berada dilemma sama ada memilih sosok Anwar Ibrahim lambang tokoh dan perjuangan PKR seterusnya menjadi poster boy atau memilih Rafizi? Bagaimana pengundi bukan penyokong PKR Pandan, yang barangkali mengutamakan kestabilan politik, tidak mahu mengambil sikap atau lebih selesa dengan Kerajaan Perpaduan?
Sudah tentu, Razifi akan terus dengan gema Hiruk, Ayuh Malaysia dan pelbagai sentimen akan digunakan untuk meraih undi. Namun, jika Rafizi menang sekali pun, siapa akan menjadi sekutu Rafizi untuk terus relevan dalam politik nasional? Apakah perubahan politik akan berlaku selepas PRU akan datang lebih menyulitkan Rafizi, misalnya kemungkinan UMNO dan PAS dan juga PKR akan mempunyai pakatan baharu? Ketika saingan pelapis muda ialah Syed Saddiq yang terbukti mampu memperoleh dana secara kreatif dan inovatif. Mungkin ketika itu, Syed Saddiq akan menyertai ‘rumah bangsa’UMNO? Sebab tidak ada musuh dan kawan kekal dalam politik melainkan kepentingan.
Namun pengundi yang mengutamakan kestabilan gabungan mungkin melihat langkah solo sebagai berisiko dan berpotensi melemahkan kekuatan kolektif.
Ujian Sistem Politik Malaysia
Situasi ini memperlihatkan realiti bahawa sistem politik Malaysia masih berpaksikan parti. Individu yang berfikiran bebas sering berdepan dilema antara kesetiaan organisasi dan integriti intelektual.
Menjadi “independent thinker” dalam struktur parti memerlukan imbangan halus. Terlalu patuh, hilang identiti. Terlalu berasingan, berisiko tersisih. Dalam konteks melawan arus perdana ia seperti keyakinan terlalu tinggi mengharungi lautan ombak politik, di tengah-tengah jentera parti masih faktor dominan dan kadangkala idealisme tanpa struktur sukar bertahan. Sudah pasti Rafizi sedar situasi ini dan sudah bersedia menghadapi dan mempunyai formula besar diyakini untuk menghadapi di belakangnya duri, di depan api seperti ungkapan puisi Sasterawan Negara Usman Awang.
Perjuangan tanpa jalan undur ini bagi beliau melambangkan keberanian menghadapi rintangan, cabaran dan ancaman besar politik demi prinsip diyakininya, dengan semangat perjuangan daripada perspektifnya itu. Apa pun perjalanan politik Rafizi masih panjang selagi bergelar ahli parlimen!.
— Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
















