Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyeru umat Islam di seluruh negara supaya memperbanyakkan doa dan munajat susulan perkembangan konflik yang berterusan di Gaza dan Asia Barat.

Beliau berkata, dalam keadaan dunia Islam berdepan ujian getir, kekuatan rohani dan kesatuan doa umat Islam amat penting sebagai tanda solidariti dan pengharapan kepada Allah SWT.

“Saya menyeru umat Islam seluruh negara membaca Qunut Nazilah dan Solat Hajat, demi keamanan Gaza dan Asia Barat.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amalan Qunut Nazilah merupakan antara sunnah yang dianjurkan ketika umat Islam berdepan musibah atau ancaman besar, manakala Solat Hajat pula menjadi wadah memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT.

Dr Zulkifli berkata, seruan itu bukan sahaja sebagai simbol kebersamaan rakyat Malaysia terhadap penderitaan umat Islam di Gaza, malah sebagai usaha memperkukuh kesedaran dan keinsafan dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut mengajak masjid dan surau di seluruh negara menganjurkan bacaan Qunut Nazilah secara berjemaah dalam solat fardu serta mengadakan Solat Hajat khusus memohon keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Palestin dan seluruh Asia Barat.

Katanya lagi, umat Islam perlu menzahirkan solidariti bukan sekadar melalui kenyataan, tetapi dengan doa yang berterusan, selain memperkukuh perpaduan dan semangat kemanusiaan sejagat.

Terbaharu, Iran menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera bagi menghentikan apa yang disifatkan sebagai “penggunaan kekerasan haram” oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu.

Dalam surat rasmi kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, serta Majlis Keselamatan PBB, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, berkata serangan dilancarkan pada Sabtu jelas melanggar kedaulatan serta integriti wilayah Iran.

Menurutnya, serangan tersebut menyasarkan kemudahan pertahanan dan kawasan awam di beberapa bandar Iran, sekali gus dianggap pelanggaran nyata Piagam PBB serta satu bentuk pencerobohan bersenjata terhadap negara itu.

Araghchi menegaskan Iran berhak menggunakan hak mempertahankan diri selaras Artikel 51 Piagam PBB, sambil menyatakan angkatan bersenjata negara akan menggunakan segala keupayaan pertahanan bagi menentang apa yang digelar sebagai “pencerobohan jenayah”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast