Kredit FB JIM

KUALA LUMPUR –Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur dua premis hiburan di sekitar kawasan perindustrian kecil Kepong menerusi Ops Gegar lewat malam kelmarin sebelum menahan 107 warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah.

Operasi yang dikendalikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu bermula 11 malam, hasil maklumat aduan serta risikan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) selama dua minggu.

Menurutnya, pasukan operasi memeriksa 24 individu di kedua-dua premis berkenaan, terdiri daripada 171 warga asing dan 53 warga tempatan.

“Hasil semakan awal membawa kepada penahanan 107 warga asing,” katanya dalam kenyataan.

Daripada jumlah itu, JIM menahan 65 wanita dan tiga lelaki warga Thailand, 18 wanita warga Vietnam, 11 lelaki warga Bangladesh, tujuh wanita warga Laos serta tiga wanita warga Indonesia kerana disyaki berada di negara ini tanpa dokumen atau pas sah.

Kredit FB JIM

Dalam serbuan sama, pihak berkuasa turut menyita beberapa barangan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti premis termasuk cip bayaran, kalung, set komputer dan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

JIM turut mendedahkan risikan awal mendapati premis terbabit dikawal pengawal keselamatan, manakala wanita warga asing pula dikendalikan individu yang berperanan sebagai penyelaras atau “mummy” bagi mengurus perkhidmatan pelanggan dan persembahan pentas.

Bayaran perkhidmatan pula dipercayai ditentukan melalui sistem kad berwarna dengan kadar antara RM100 hingga RM1,314, menurut kenyataan itu.

Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, tujuh warga tempatan turut diberikan notis hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.

JIM menegaskan tidak akan berkompromi dan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk di bawah ATIPSOM 2007, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memperkukuh penguatkuasaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast