KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri terjatuh ke sungai ketika menjaring ikan di Sungai Belat, Kampung Belukar, Batu 3, Jalan Gambang di sini hari ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 8 malam.
Sejurus menerima laporan, seramai 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan bergegas ke lokasi dan memulakan operasi pencarian mangsa di sekitar tepi sungai berkenaan.
“Pihak bomba dimaklumkan oleh orang awam bahawa mangsa telah turun berseorangan ke sungai itu kira-kira 2.30 petang tadi menaiki bot fiber untuk menahan ketam dan udang.
“Bagaimanapun, pukul 4.30 petang bot mangsa didapati hanyut tanpa jurumudi dan disyaki mangsa jatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, sehingga 10 malam ini, mangsa yang berusia 23 tahun itu masih belum ditemukan pihak bomba. – MalaysiaGazette















