KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) sedang memantau dan menilai keadaan perkembangan konflik semasa di Iran susulan penggantungan semua penerbangan pergi dan balik dari Timur Tengah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata, pihaknya akan membuat pemakluman seterusnya pada masa yang sesuai.
“Berkenaan dengan tanggungjawab TH kepada bakal jemaah negara, tindakan TH seterusnya akan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Saudi dan Wisma Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji
negara menjadi keutamaan TH.
Terbaharu, Kementerian Luar mengeluarkan nasihat perjalanan bagi rakyat Malaysia di tujuh negara di Timur Tengah memandangkan perkembangan terkini di rantau itu.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menyatakan bahawa perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) perlu ditangguhkan sehingga situasi keselamatan stabil.
Katanya, memandangkan perkembangan semasa, termasuk serangan ketenteraan terbaharu serta peningkatan langkah keselamatan di beberapa kawasan di rantau itu, penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan telah dilaporkan di negara berkenaan.- MalaysiaGazette
















