Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR — Datuk Dr Ibrahim Ali mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang didakwa sebagai pembunuhan terhadap Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ayatollah Ali Khamenei, melalui serangan ketenteraan yang didakwa melibatkan Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu menyifatkan, peristiwa tersebut sebagai ancaman langsung kepada kedaulatan negara berdaulat serta undang-undang antarabangsa.

Beliau yang dikenali Tok Him menegaskan, tindakan sedemikian bukan sekadar operasi ketenteraan, tetapi serangan ganas yang “merobek asas diplomasi antarabangsa dan menghina kedaulatan sesebuah negara selain melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya larangan penggunaan kekerasan terhadap integriti dan kemerdekaan politik negara lain.

“Apabila penghormatan terhadap kedaulatan dan norma diplomasi diabaikan, dunia kembali ke keadaan “hukum rimba” di mana kuasa menentukan nasib negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim yang juga seorang tokoh aktif dalam hubungan umat Islam antarabangsa menekankan bahawa bukan retorik politik semata-mata, tetapi berpunca daripada pengalaman langsung dalam arena sejarah dan hubungan umat Islam global.

Beliau turut merakamkan pengalamannya menunaikan solat berjemaah yang diimamkan sendiri oleh Ayatollah Ali Khamenei pada Julai 2025 di Kompleks Masjid dan Makam Imam Ayatollah Khomeini sempena ulang tahun ke-37 penubuhan Republik Islam Iran, di mana beliau hadir atas jemputan rasmi Kerajaan Iran sebagai tetamu kehormat.

“Saya juga pernah bertemu dengan Imam Ayatollah Khomeini di Paris pada Disember 1979 semasa kemuncak Revolusi Iran.

“Saya menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan tegas serta mengajak negara-negara Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan pendirian bersama agar tindakan keganasan tidak ditormalisasikan dan undang-undang antarabangsa dihormati,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa, peristiwa sedemikian bukan sahaja boleh menggugat kedamaian di Asia Barat, tetapi turut mencetuskan gelombang ketidakstabilan global yang merentasi sempadan ekonomi, sosial dan keselamatan.

Beliau turut menyeru umat Islam di seluruh dunia, rakyat yang menginginkan keamanan dan generasi muda untuk berdiri teguh bersama prinsip kedaulatan, keadilan dan solidariti global.

“Cukuplah budaya kekerasan dalam geopolitik global. Cukuplah ketidakadilan mengetepikan suara negara kecil dan sederhana. Cukuplah kuasa besar menentukan hidup mati umat lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast