Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Akta Kredit Pengguna 2025 atau Akta 873 (AKP) yang telah diwartakan pada 31 Disember 2025 mula berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Mac 2026, sebagai langkah kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia.

Sejajar dengan penguatkuasaan akta berkenaan, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) ditubuhkan bagi mengawal selia industri kredit pengguna secara lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan.

AKP menyediakan kerangka kawal selia yang konsisten termasuk pembangunan Piawaian Kebenaran, Piawaian Tingkah Laku, serta sistem maklumat bersepadu bagi tujuan pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan industri.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penguatkuasaan AKP dan penubuhan SKP merupakan langkah penting dalam membina sistem kredit yang telus dan bertanggungjawab.

“Dengan penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 dan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna, kerajaan memperkukuhkan perlindungan terhadap pengguna supaya mereka tidak terdedah kepada amalan kredit yang tidak adil atau tidak beretika,” katanya.

Di bawah AKP, pemberi kredit seperti syarikat skim beli sekarang bayar kemudian (Buy Now Pay Later – BNPL), syarikat pemajakan  dan syarikat pemfaktoran diwajibkan memperoleh lesen daripada SKP.

Selain itu, pemberi perkhidmatan kredit termasuk agensi pemungutan hutang, syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang juga perlu berdaftar dengan SKP.

Keperluan pelesenan dan pendaftaran ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026, dengan tempoh peralihan selama enam bulan diberikan kepada pihak industri bagi mematuhi peruntukan AKP.

Langkah tersebut dijangka dapat memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan tadbir urus industri kredit serta memastikan amalan pemberian kredit yang lebih telus, adil, bertanggungjawab dan profesional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast