Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Foto Anadolu Agensy.

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Pengesahan rasmi oleh media dan kerajaan Iran mengenai kematian Ayatollah Ali Khamenei selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah mengubah spekulasi menjadi fakta geopolitik. Tehran mengisytiharkan tempoh berkabung 40 hari, menyifatkan beliau sebagai “syahid” dan menegaskan bahawa pemergiannya adalah akibat serangan musuh.

Sementara itu di Washington pula, reaksi daripada Presiden AS, Donald Trump membingkai peristiwa ini sebagai kejatuhan seorang tiran dan peluang untuk membuka laluan kepada “Iran yang berbeza”.

Namun di sebalik fakta kematian itu sendiri, yang sedang berlangsung dengan lebih sengit ialah pertempuran makna.

Media rasmi Iran segera mengangkat istilah “syahid” — satu pilihan bahasa yang sarat dengan kosmologi sejarah Syiah. Dalam tradisi ini, kematian bukan semata-mata penamat biologi lebih dalam lagi suatu  transformasi moral.

Darah yang tertumpah menjadi lambang kesinambungan perjuangan. Pengisytiharan berkabung bukan hanya ritual kenegaraan; ia adalah proses pensakralan politik yang mengangkat peristiwa ini daripada tragedi keselamatan kepada bab baharu dalam naratif revolusi.

Simbol paling mencolok dalam konteks ini ialah pengibaran bendera merah. Dalam imaginasi sejarah Syiah, merah melambangkan darah syuhada dan keadilan yang belum tertunai iaitu gema tragedi Karbala yang membentuk identiti kolektif komuniti tersebut.

Tetapi membaca simbol ini sebagai deklarasi automatik perang total adalah penyederhanaan. Bendera merah berfungsi sebagai bahasa mobilisasi dan pencegahan: mesej kepada rakyat bahawa maruah tidak gugur bersama jasad pemimpin dan mesej kepada musuh bahawa sistem masih berdiri.

Di sinilah bertembungnya dua bahasa yang berbeza sama sekali. Di satu sisi ialah bahasa kesyahidan dan pengorbanan; di sisi lain ialah bahasa strategi dan dominasi. Dalam wacana keselamatan Amerika, kematian pemimpin tertinggi sering dirujuk sebagai decapitation strike — serangan yang menyasarkan “kepala” rejim dengan harapan tubuh politik akan lumpuh. Istilah ini metafora strategik, bukan literal. Logiknya jelas: hapuskan pusat arahan, dan sistem akan hilang arah.

Tetapi persoalannya, adakah tubuh politik Iran benar-benar bergantung pada satu kepala?

Struktur Republik Islam tidak semata-mata berpaksikan individu. Kuasa diagihkan melalui institusi, jaringan keselamatan dan elit revolusioner yang telah lama terbiasa dengan tekanan, sekatan dan ancaman pembunuhan tokoh utama.

Sejarah menunjukkan bahawa dalam sistem berideologi, kematian pemimpin boleh menguatkan simbol yang diwakilinya. Dalam kerangka revolusioner, darah boleh menjadi perekat bukannya pemutus.

Pertembungan ini melangkaui individu. Ia menyentuh dua geonaratif besar yang telah lama bersaing di Asia Barat. Iran membina apa yang sering digelar sebagai “Poros Perlawanan” — satu imaginasi geopolitik yang menghubungkan Tehran dengan sekutunya di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman dalam paksi ideologi menentang pengaruh Amerika dan Israel.

Dalam naratif ini, kematian Khamenei adalah ujian ketahanan; pengibaran bendera merah menjadi simen simbolik agar paksi tersebut tidak retak.

Sebaliknya, AS dan sekutunya membayangkan tatanan “Timur Tengah Baharu” — sebuah susunan serantau yang mengintegrasikan Israel dengan negara Arab tertentu dan meminggirkan Iran sebagai sumber ketidakstabilan.

Dalam visi ini, decapitation strike bukan sekadar operasi taktikal sebaliknya merupakan simbol bahawa rejim boleh dipenggal dan diganti. Bahasa “pembebasan” dan “keadilan sejarah” digunakan untuk memberikan legitimasi moral kepada tindakan tersebut.

Namun sejarah moden memperlihatkan bahawa decapitation tidak semestinya membawa disintegration. Penyingkiran kepala tidak secara automatik mematikan tubuh; kadangkala ia menghasilkan kekosongan kuasa, kadangkala ia mengukuhkan garis keras dan kadangkala ia mencetuskan konflik yang lebih luas. Dalam kes Iran, keupayaan tindak balas yang relatif terdesentralisasi serta jaringan proksi serantau menjadikan andaian “potong kepala, tubuh mati” terlalu optimistik.

Implikasi strategik segera turut melibatkan geografi. Tumpuan dunia terhadap Selat Hormuz menunjukkan bagaimana ruang fizikal boleh bertukar menjadi bahasa geopolitik.

Laluan tenaga global itu bukan sekadar perairan sempit; ia adalah tuil ekonomi dunia. Ancaman — nyata atau tersirat — untuk mengganggu aliran minyak menjadi mesej bahawa Iran masih memegang kad strategik walaupun kehilangan pemimpin tertinggi.

Adakah rantau ini akan tergelincir ke dalam perang yang melumpuhkan seluruh Timur Tengah? Risiko itu wujud. Tetapi pola dua dekad terakhir menunjukkan kecenderungan kepada eskalasi terkawal — serangan balas terhad, perang proksi, tekanan psikologi — tanpa melangkah ke perang sistemik yang menghancurkan semua pihak.

Kos ekonomi dan politik perang total terlalu besar untuk diabaikan, bukan sahaja bagi Iran atau Israel, tetapi juga bagi kuasa besar dan ekonomi global.

Apa yang lebih membimbangkan ialah bahasa yang semakin ekstrem. Apabila seorang pemimpin disakralkan sepenuhnya atau disyaitankan sepenuhnya, ruang rasional semakin sempit.

Decapitation strike dalam bahasa strategik mungkin dimaksudkan sebagai operasi ketenteraan terhad, tetapi dalam bahasa simbolik ia boleh diterjemahkan sebagai cubaan memenggal revolusi itu sendiri. Begitu juga bendera merah  yang bagi satu pihak ia simbol pembalasan, bagi pihak lain ia simbol ketahanan.

Akhirnya, krisis pasca-Khamenei memperlihatkan bahawa konflik abad ke-21 bukan lagi semata-mata soal peluru berpandu dan jet pejuang. Ia adalah perebutan tafsiran. Siapa yang berjaya mengawal makna, mengawal arah emosi kolektif dan legitimasi moral, sering kali lebih berpengaruh daripada siapa yang menguasai wilayah.

Kepala mungkin telah disasarkan. Tetapi makna tidak mudah dipenggal. Oleh itu dalam politik revolusioner, sering kali yang menentukan masa depan bukan kematian seorang pemimpin lebih jauh lagi naratif yang hidup selepasnya.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa yang menafsir isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast