JOHOR BAHRU – Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan supaya Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) diletakkan di bawah kerangka Amanah Insurans Kesihatan Kebangsaan (NHIT).

Timbalan Ketuanya, Zainuddin Adan berkata, ketika ini MHIT dan NHIT wujud secara berasingan yang sedang diseragamkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pelan asas insurans/takaful kesihatan.

Jelasnya, ini termasuk cadangan NHIT sebagai badan pusat yang berperanan mengintegrasikan skim-skim sedia ada seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Lindung 24/7, caruman majikan serta subsidi kerajaan.

“MHIT tidak wajar dilaksanakan secara berasingan kerana ia berisiko mewujudkan pertindihan perlindungan dengan skim Perkeso dan takaful swasta, sekali gus membebankan pekerja dengan kos berganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zainuddin, pihaknya mencadangkan MHIT diletak di bawah kerangka NHIT sebagai skim asas yang dikawal selia secara berpusat dan diselaraskan dengan Perkeso Lindung 24/7 supaya menjadi sebahagian daripada insurans kumpulan pekerja.

Katanya, pendekatan itu akan memastikan tiada pertindihan perlindungan, mengelakkan pembaziran dana serta menjamin keadilan dalam agihan caruman antara pekerja, majikan dan kerajaan.

“Dalam masa yang sama, pekerja perlu diberi pilihan untuk menambah perlindungan melalui caruman sukarela (top-up) sekiranya mahu menikmati manfaat tambahan.

“Melalui penubuhan NHIT, kawalan harga rawatan swasta termasuk caj doktor dan ubat-ubatan dapat dilaksanakan secara berpusat bagi mengekang kos kesihatan yang semakin meningkat,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu juga berupaya mengurangkan kesesakan hospital awam dengan memperluaskan akses rakyat kepada fasiliti swasta pada kadar yang terkawal.

Malah, katanya, Perkeso kini mempunyai rangkaian hospital swasta untuk rujukan pekerja dan model itu boleh diperluaskan bawah NHIT demi manfaat semua pekerja.

Menerusi perlindungan berpusat, jelas beliau, pekerja tidak lagi terbeban dengan premium insurans peribadi yang tinggi dan masih mempunyai perlindungan sementara sehingga enam bulan melalui Skim Insurans Pekerja (EIS) sekiranya kehilangan pekerjaan.

Tambahnya, Pejuang Johor percaya pendekatan bersepadu itu mampu mengurangkan perbelanjaan kesihatan daripada poket rakyat, meningkatkan kecekapan penggunaan dana, mengawal inflasi kesihatan serta mengurangkan tekanan terhadap belanjawan kerajaan dalam jangka panjang.

“Perlindungan berpusat yang dicadangkan itu mesti menjamin pekerja sentiasa dilindungi daripada segi gaji, pekerjaan dan kesihatan yang bukan sahaja 24 jam sehari, tetapi secara berterusan sepanjang kerjaya mereka,” katanya.

Tambah beliau, cadangan NHIT perlu disegerakan demi memastikan sistem perlindungan kesihatan negara lebih adil, mampan dan benar-benar memihak kepada rakyat dalam menghadapi tekanan inflasi yang semakin mencabar. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast