KUALA LUMPUR — Seramai 662 jemaah umrah Malaysia di bawah kendalian Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd dilaporkan dalam keadaan selamat dan terkawal susulan penjadualan semula penerbangan pulang.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, semua kebajikan jemaah terus dipantau rapi dan setakat ini keselamatan mereka terjamin.
“Jemaah sangat tenang dan berada dalam keadaan baik. Jangan bimbang, makanan mencukupi dan semuanya diurus dengan baik,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook rasmi syarikat itu hari ini.
Md Daud yang kini berada di Mekah bagi menyelia sendiri operasi umrah memaklumkan suasana di kota suci kekal aman walaupun isu ketegangan di Asia Barat menjadi perhatian antarabangsa.
“Alhamdulillah, keadaan di sini sangat tenang. Tidak ada sebarang kekecohan. Jemaah boleh beribadah seperti biasa. Cuma waktu solat di masjid sahaja yang sibuk seperti lazimnya,” katanya ketika bersiaran dari Hotel Olayan Al-Haram di Mekah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 283 jemaah yang sepatutnya pulang semalam masih berada di Mekah sementara menunggu pengesahan jadual penerbangan baharu namun mereka tidak berada dalam keadaan cemas.
“Mereka reda dan mengambil peluang menambah amal ibadah. Setiap malam dapat solat tarawih, siang hari pula beribadah seperti biasa. Makanan dan penginapan semuanya baik serta terurus,” jelasnya.
Menurut beliau, sebahagian jemaah turut menunaikan umrah sunat dan menyertai program ziarah sekitar Mekah dalam kumpulan kecil yang diselia mutawif.
Dalam masa sama, pihak pengurusan menegaskan, semua jemaah kekal ditempatkan di hotel sekitar Mekah dan tidak dipindahkan ke Jeddah.
Md Daud berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan jemaah dapat terus beribadah dengan selesa berbanding menunggu di lapangan terbang atau penginapan sementara.
“Paling lewat 6 Mac semua jemaah yang terlibat akan diterbangkan pulang sama ada melalui Malaysia Airlines atau Saudi Airlines,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 1,000 jemaah umrah Malaysia terjejas susulan penangguhan penerbangan akibat perkembangan konflik di Asia Barat, namun Andalusia menegaskan operasi mereka kekal terkawal dan mengutamakan keselamatan jemaah pada setiap masa. – MalaysiaGazette
















