KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan keselamatan lebih 29,112 rakyat Malaysia yang kini berada di Asia Barat susulan perkembangan terkini melibatkan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu melibatkan rakyat Malaysia yang berdaftar dan tidak berdaftar di beberapa negara di rantau berkenaan, termasuk mereka yang bekerja, menetap, melancong serta menunaikan umrah.
“Tentunya sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul mengutuk serangan yang disifatkannya sebagai biadab dan ganas oleh Israel dengan sokongan AS ke atas Iran di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, sebahagian rakyat Malaysia kini berdepan kesukaran untuk pulang berikutan penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan di beberapa negara Asia Barat.
“Ramai terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan. Sebahagiannya memang sudah menetap dan bekerja di sana.
“Sebahagian lagi adalah pelancong dan jemaah umrah. Jumlah yang besar yang berdaftar bertugas di rantau Asia Barat yang mencecah lebih 29,112 orang di kalangan yang berdaftar dan tidak berdaftar,” katanya.
Anwar memaklumkan, antara negara yang menempatkan jumlah rakyat Malaysia paling ramai ketika ini ialah Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
“Kita terutamanya Wisma Putra sedang memantau dari dekat, sebahagiannya juga dibantu oleh kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama membawa pulang walaupun terbantut sekarang kerana tersekat penerbangan.
“Penerbangan dibolehkan dari Arab Saudi tetapi dari negara lain masih lagi belum mendapat kepastian,” katanya.
Situasi di Asia Barat ketika ini terus tegang susulan tindakan ketenteraan yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan awam serta gangguan laluan udara antarabangsa.
Beberapa negara dilaporkan menutup atau mengehadkan penggunaan ruang udara mereka sebagai langkah keselamatan, ini memberi kesan langsung kepada pergerakan keluar masuk rakyat asing, termasuk rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette
















