Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama bertarikh 2024 melibatkan insiden di Singapura.

Ia membabitkan seorang warga negara jiran itu yang memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran.

MCMC berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura.

“Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat khususnya Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap
kandungan berkenaan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC menegaskan, sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat
kuasa.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. – MalayiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast