JOHOR BAHRU – Johor mengambil pendekatan politik berteraskan prestasi dan hasil kerja dalam mendepani landskap politik nasional yang semakin mencabar serta sarat dengan polemik.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, rakyatnya kini semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik semata-mata, sebaliknya lebih menumpukan kepada pencapaian serta keberkesanan pentadbiran.
Menurut beliau, sejak diterajui Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, negeri itu membawa naratif kepimpinan muda yang menekankan tindakan pantas, penyelesaian masalah serta pendekatan turun padang.
“Pendekatan kepimpinan muda bukan sekadar faktor usia, tetapi keberanian membuat keputusan dan kesediaan mendengar denyut nadi rakyat.
“Pentadbiran yang responsif dan berorientasikan hasil memberi keyakinan bahawa kerajaan negeri serius dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan menjadi kebimbangan utama rakyat, justeru fokus terhadap pelaburan, pembangunan infrastruktur dan penciptaan pekerjaan menjadi ukuran sebenar prestasi sesebuah kerajaan.
Katanya, rakyat Johor juga semakin bijak membezakan antara naratif di media sosial dan realiti sebenar di lapangan.
“Politik prestasi bermaksud keberhasilan yang boleh dirasai, sama ada melalui peluang pekerjaan baharu, projek pembangunan yang berjalan lancar atau sistem penyampaian yang lebih cekap,” katanya.
Norshida berkata, konsep Maju Johor yang digagaskan sebagai pendekatan inklusif turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik dan kesepakatan terus terpelihara demi pembangunan negeri.
Menurut beliau, kestabilan politik merupakan aset penting dalam menarik keyakinan pelabur, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu masuk ekonomi selatan tanah air.
“Apabila pelaburan meningkat, peluang pekerjaan akan bertambah dan kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan. Inilah bukti bahawa politik prestasi memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Johor tidak lagi mahukan politik perbalahan tanpa kesudahan, sebaliknya mengutamakan politik matang yang menekankan penyelesaian dan pembangunan.
“Politik bukan tentang siapa paling lantang berbicara, tetapi siapa paling konsisten berkhidmat. Dalam memilih politik prestasi, Johor menghantar mesej jelas bahawa kesejahteraan rakyat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.- MalaysiaGazette
















