Tertuduh didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan gambar lucah, Ogos tahun lalu.

MELAKA – Seorang bakal pengantin didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan gambar lucah, Ogos tahun lalu.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Nurhakim Ridzuan Shah, 27, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dalam simpanannya beberapa keping gambar lucah kira-kira pukul 3.15 petang di pejabat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Taman Batu Berendam Putra dalam daerah Melaka Tengah, pada 3 Ogos 2025.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, seorang lelaki membuat laporan polis terhadap tertuduh yang didakwa mempamerkan kenderaan miliknya di Facebook milik tertuduh berserta kata-kata berunsur fitnah dan memalukan.

Susulan itu, polis merampas telefon bimbit tertuduh bagi membantu siasatan sebelum analisis forensik menjumpai kandungan imej-imej lucah di dalamnya.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sendiri merayu hukuman ringan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama dan akan mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.

Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar dan tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast