Kejadian itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan yang serius dan memerlukan kerja-kerja pembaikan berskala besar

PETALING JAYA – Kerja baik pulih bekalan kuasa perkhidmatan tren membabitkan Laluan Putrajaya giat dilaksanakan susulan  kecurian kabel yang dikesan berlaku di kawasan berhampiran Stesen Damansara Damai, di sini, awal pagi tadi.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian kecurian itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Katanya, kerja pembaikan perlu dilaksana secara menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dalam keadaan selamat serta stabil.

“Perkhidmatan dijangka dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.

“Sepanjang tempoh gangguan, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan,” jelasnya.

Sehubungan itu, para penumpang disarankan menggunakan laluan rel alternatif, selain memohon kerjasama untuk mematuhi arahan petugas di stesen demi kelancaran pergerakan dan keselamatan bersama.

“Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE,” katanya.

Perkhidmatan tren Laluan Putrajaya mengalami gangguan bekalan kuasa di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai, pagi tadi.

Hasil siasatan awal pasukan kejuruteraan mengesahkan berlaku kecurian kabel bekalan kuasa yang telah dipotong berhampiran Stesen Damansara Damai.

Menurutnya, kejadian itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan yang serius dan memerlukan kerja-kerja pembaikan berskala besar, yang dijangka berterusan sehingga tamat waktu operasi perkhidmatan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast