KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan remaja membuat bising menggunakan motosikal semasa penduduk menunaikan solat sunat tarawih di Taman Ampang Saujana, Sabtu lalu, mengundang padah selepas mereka ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula pukul 9 malam.
Menurutnya, dalam operasi itu, polis menyita sebanyak 19 buah motosikal dengan kebanyakannya melakukan kesalahan pengubahsuaian pada struktur kenderaan selain penunggang yang tiada lesen memandu.
“Selain itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 40 keping saman di atas pelbagai kesalahan trafik yang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, operasi itu menumpukan kawasan aduan bagi mengekang dan membanteras aktiviti tidak sihat daripada berlarutan selain bagi mewujudkan suasana harmoni sepanjang bulan Ramadan.
Khairul Anuar menambah, ibu bapa khususnya diingatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama remaja di bawah umur termasuk mencegah mereka daripada menunggang atau memandu kenderaan tanpa lesen memandu.
“Syarat utama untuk menunggang atau memandu kenderaan mestilah mempunyai lesen memandu yang sah, sekiranya tiada ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Selain daripada tindakan kompaun kepada individu yang tiada lesen memandu, pemilik kenderaan juga boleh ambil tindakan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya – MalaysiaGazette
















