Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 04 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM15.5 bilion wang dan aset berjaya diperoleh semula sepanjang 2023 hingga 2025 menerusi tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan, kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tempoh sebelum ini.

Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau

“Pada 2018, jumlah keseluruhan aset permulaan ialah RM37 juta dan pada 2019 sebanyak RM1.2 bilion. Tetapi dari 2023 hingga 2025, dengan usaha SPRM dan agensi lain, ia sudah mencecah RM15.5 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan tersebut dilaksanakan di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan digerakkan melalui Pasukan Khas Multi-Agency Task Force (MATF) yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Turut terlibat, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, tidak semua agensi terlibat dalam setiap operasi, namun kerjasama strategik diperkukuh terutama apabila membabitkan kes berprofil tinggi atau berskala besar.

Anwar berkata, peningkatan jumlah pemulihan aset itu turut memberi kesan positif terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperbaiki tatakelola dan integriti pentadbiran.

“Tindakan-tindakan itu tidak sepertimana yang berlaku sebelum 2023. Selepas itu, ia lebih nyata dan ketara,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa antara November 2025 hingga Februari lalu, beberapa kes berprofil tinggi telah dibawa ke muka pengadilan.

Antaranya, jelas Perdana Menteri, pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Sabah, pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri pada 4 Disember 2025, pertuduhan terhadap empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Januari lalu serta siasatan dan tangkapan terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, tindakan tegas itu membuktikan kesungguhan kerajaan memecahkan sindiket yang didakwa telah beroperasi sekian lama di beberapa negeri termasuk di Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan mengambil pendekatan adil dan berasaskan proses dalam setiap siasatan.

“Kita tidak siasat ribuan tohmahan yang dilemparkan melainkan ada asasnya. Kalau ada asas, kita siasat,” jelasnya lagi.

Anwar berkata, kerajaan juga terbuka terhadap cadangan untuk memperkemas mekanisme pemantauan dan kawalan terhadap agensi penguatkuasaan bagi memastikan integriti institusi terus diperkukuh.

Menurutnya, sebarang langkah lanjut termasuk cadangan memperluaskan skop siasatan akan dipertimbangkan berdasarkan laporan dan proses perundangan yang sedang berjalan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast