KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperluas perkhidmatan Unit Dialisis Komuniti (UDK) di klinik kesihatan luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, UDK bertujuan memudahkan pesakit dialisis menerima rawatan lebih dekat dengan kediaman, mengurangkan perjalanan panjang tiga kali seminggu ke pusat dialisis di bandar serta meningkatkan kualiti hidup.
“Pesakit yang sesuai untuk menerima rawatan dialisis di UDK terdiri daripada golongan pesakit yang stabil.
“Pengambilan pesakit tersebut perlu dinilai oleh pakar nefrologi dari hospital KKM terdekat terlebih dahulu.
“Secara keseluruhan, operasi UDK adalah tanggungjawab bersama antara hospital terdekat yang mempunyai pakar nefrologi dan Pejabat Kesihatan (Daerah/ Bahagian/ Kawasan) atau klinik kesihatan (KK) di mana unit hemodialisis tersebut berada,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalid Abdullah (PN-Rompin) yang meminta statistik terkini penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk luar bandar dan langkah proaktif KKM bagi membendung peningkatan kos rawatan dialisis melalui penambahan pusat satelit dialisis di daerah kecil.
Menurut Dzulkefly, sehingga kini, terdapat 33 UDK yang ditubuhkan di seluruh negara, di mana 28 unit telah beroperasi dan lima unit lagi masih dalam pembinaan.
Dalam perkembangan lain, tambah beliau, kadar NCD seperti diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan obesiti dalam kalangan penduduk luar bandar menunjukkan angka lebih tinggi berbanding kawasan bandar, berdasarkan data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) 2023. – MalaysiaGazette















