MELAKA – Pernah dihujani rungutan dan keraguan pada awal penubuhannya, Bazar Ikonik Negeri Melaka di Banda Hilir kini muncul sebagai ‘lubuk rezeki’ luar jangka buat para peniaga menjelang Aidilfitri ini.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, bazar yang menjadi mercu tanda baharu pelancongan negeri ini berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung.
Malah, rata-rata peniaga sudah pun berjaya memperoleh pulangan modal sewaan seawal minggu pertama operasi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, maklum balas positif itu hasil manifestasi kerajaan negeri dan penganjur yang memulakan operasi seminggu lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Keputusan memulakan bazar lebih awal ternyata membuahkan hasil apabila bertembung dengan cuti Tahun Baharu Cina dan hujung minggu, sekali gus memanfaatkan limpahan pelancong ke bandar warisan dunia itu.
“Tahun lepas, memang kita terima rungutan di mana peniaga tidak yakin tempat ini boleh dijadikan lokasi mencari rezeki.
“Namun, tahun ini situasinya berbeza sama sekali. Rata-rata respons sangat positif,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, hasil tinjauan bersama pemilik gerai mendapati rata-rata mereka menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana beban modal sewaan telah pun diselesaikan dan kini fokus untuk mencari keuntungan bersih.

Dalam pada itu, Shadan turut memberikan pesanan tegas agar para peniaga tidak leka dan sentiasa menjaga etika perniagaan.
“Kedudukan Banda Hilir sebagai zon pelancongan antarabangsa, saya mahu peniaga kekalkan harga berpatutan bagi menjaga imej Melaka di mata dunia.
“Janganlah jual terlalu mahal kerana kawasan ini dikunjungi semua pihak, bukan sahaja orang Islam tetapi pelancong dari pelbagai negara.
“Juallah dengan harga berpatutan dan yang paling utama menjaga kebersihan kawasan ini,” ujarnya.
Penganjuran bazar ikonik ini dilihat bukan hanya platform perniagaan bermusim, malah strategi serampang dua mata dalam merancakkan Tahun Melawat Melaka serta memperkukuh ekonomi usahawan tempatan dalam suasana sambutan Ramadan yang penuh barakah. – MalaysiaGazette















