Tertuduh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke Mes Pegawai Kanan, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, Sabtu lalu.

MELAKA – Seorang bekas tentera didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke Mes Pegawai Kanan, Kem Terendak, Sungai Udang, Sabtu lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Alif Duie, 39, selepas meneliti fakta kes serta menimbang rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Mes Perwira 94 HAT Kem Terendak, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah tanpa kebenaran yang sah dari pihak Angkatan Tentera Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan pada kira-kira jam 2 pagi 28 Februari 2026 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pencerobohan disedari seorang koperal tentera ketika melakukan rondaan sebelum terlihat sebuah kereta jenis Perodua dalam keadaan mencurigakan di Mes Pegawai Kanan Kem Terendak.

Tertuduh kemudian mengakui menyimpan kunci bilik pegawai kanan sejak tamat perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Amritpal Singh bagaimanapun memohon hanya dikenakan denda yang rendah kerana anak guamnya merupakan bekas tentera yang sudah berkhidmat selama 12 tahun sebelum berhenti pada 2022.

Tertuduh juga perlu menjaga tiga anak yang masih kecil berusia lapan hingga 12 tahun dan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara keluarga, selain sudah insaf.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast