Muhammad Yusoff Rawther. -foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2019 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Selepas sembilan bulan tertangguh, saman Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, seramai empat saksi akan memberi keterangan termasuk saksi pertama yang merupakan Muhammed Yusoff sendiri.

“Tarikh pengurusan kes dijadualkan pada 8 April ini dan kita berharap tarikh perbicaraan awal akan ditetapkan kerana kes ini merupakan kes kepentingan awam,” ujar peguam itu di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Ketika ditanya wakil media keadaan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri itu, beliau berkata, anak guamnya kini diletakkan di tempat yang selamat.

Bekas Pembantu Penyelidik kepada pemimpin politik, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) keluar dari bilik bicara selepas dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

Ujar beliau, Muhammed Yusoff masih risaukan keselamatannya selepas situasi yang diharunginya lebih sembilan bulan lalu.

“Muhammed Yusoff diletakkan di tempat selamat, bukan mudah untuk dia dan keluarga mengharunginya. Kita sudah buat laporan meminta polis siasatan dua pihak, namun kedua-duanya masih tidak dipanggil untuk dirakam percakapan,” ujar peguam itu di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya.

Peguam itu turut menyatakan, senarai saksi plaintif serta dokumen-dokumen berkaitan juga sudah difailkan sejak awal lagi manakala pihak defendan dijangka mengemukakan lima atau enam saksi pada perbicaraan tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri menarik balik rayuannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan, ke Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wong Kian Kheong sebulat suara memerintahkan Anwar membayar kos RM50,000 kepada Muhammed Yusoff dalam tempoh 30 hari sebelum 6 April ini.

Sehubungan tu, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membatalkan rayuan Anwar.

Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya atas dakwaan serangan seksual. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast