PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Ihya’ Ramadan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diadakan di Wisma Tani, Putrajaya di sini hari ini.
Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif KPKM untuk memperkukuh amalan ibadah serta penghayatan nilai kerohanian dalam persekitaran kerja sepanjang bulan Ramadan.
“Program dimulakan dengan kehadiran Perdana Menteri ke Mesyuarat bersama Pengurusan Tertinggi KPKM bagi berkongsi hala tuju dan agenda utama kementerian selain mendapatkan pandangan serta amanat secara langsung daripada beliau dalam usaha memacu sektor agromakanan negara ke tahap yang
lebih cemerlang.
“Antara perkara yang dibincangkan termasuk isu tatakelola dan tadbirurus sektor agromakanan, pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, status pindaan Akta 632 serta penyertaan UPOV 1991, pelaksanaan Jualan Agro MADANI, dan penganjuran MAHA 2026 dengan tema Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan,” kata KPKM dalam satu kenyataan kepada media sempena lawatan itu.

Selain itu, Anwar menyertai Sesi Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil bertajuk Ramadan Bulan Kesyukuran yang menekankan bahawa Ramadan merupakan peluang terbaik bagi umat Islam
meningkatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT serta memperkukuh amalan kerohanian.
Sebagai penutup program, Perdana Menteri bersama warga KPKM yang hadir telah menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.
Kehadiran beliau mencerminkan keprihatinan dalam mengukuhkan ukhuwah, mempererat jalinan persaudaraan serta menyemai kesatuan dalam kalangan penjawat awam, khususnya warga kerja KPKM.
Sementara itu, majlis turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, timbalannya, Datuk Chan Foong Hin, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – MalaysiaGazette

















