KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Repah, S. Veerapan menggesa pihak penganjur membatalkan perhimpunan Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang dirancang diadakan di hadapan Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Sabtu ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan berkata, perhimpunan itu perlu dibatalkan serta-merta demi kepentingan awam dan ketenteraman masyarakat.
Menurutnya, hospital merupakan fasiliti kritikal yang memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Sehubungan itu, ujarnya, sebarang perhimpunan di hadapan kawasan hospital bukan sahaja boleh mengganggu operasi perubatan dan pergerakan ambulans, malah berpotensi menimbulkan ketegangan serta ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya di Pulau Pinang.
“Kerajaan sentiasa mengamalkan pendekatan dialog dan penyelesaian secara berhemah dalam menangani sebarang isu berkaitan rumah ibadat.
“Sebarang pertikaian atau isu teknikal hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan melalui saluran undang-undang yang betul, bukan melalui tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail mengesahkan polis membuka kertas siasatan terhadap hantaran berhubung perhimpunan tersebut.
Menurutnya, siasatan itu dimulakan susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, pada Selasa lalu, berhubung satu hantaran di Facebook yang mendakwa terdapat rancangan untuk merobohkan sebuah kuil yang terletak di hadapan Hospital Bukit Mertajam.
Sementara itu, Veerapan menyeru semua pihak supaya bertenang, tidak terpengaruh dengan provokasi serta menghormati prinsip perpaduan dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara ini.
Selain itu, ujarnya, keselamatan pesakit, petugas kesihatan dan orang awam mesti menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette















