KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan tahun ini yang sudah memasuki fasa pertengahan hadir dengan pelbagai pilihan bufet bagi memikat selera daripada suasana nostalgia kampung hingga ke konsep moden dan premium.
Ketika ini, ‘perang’ bufet Ramadan menyaksikan tawaran sengit antara hotel dan resort di seluruh negara dengan menampilkan keunikan menu yang disediakan masing-masing.
Tidak ketinggalan, The Pearl Kuala Lumpur (KL) yang mengajak orang ramai berbuka puasa sepanjang Ramadan di Aras 5 hotel itu hingga 17 Mac ini.
Bertemakan Citarasa Antara Benua, hotel bertaraf empat bintang itu menawarkan kepelbagaian menu istimewa dari lapan negara menerusi lebih 100 juadah dan hidangan menarik.

Ia melibatkan gerai makanan dari Jepun, Korea, Sepanyol, Thailand, India, Itali, China, Jepun dan tentunya Malaysia sendiri.
“Kami mahu Bufet Ramadan tahun ini menjanjikan sajian pelbagai aneka hidangan tempatan dan antarabangsa yang pastinya memukau selera pengunjung sebagai pengalaman baharu buat mereka.
“Pelbagai menu istimewa ini disediakan bagi memenuhi keperluan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan agama.
“Apatah lagi, layanan ramah mesra daripada kakitangan hotel akan membuatkan pengunjung membuat pilihan tepat ke sini untuk menjamu selera berbuka puasa,” kata hotel itu dalam satu kenyataan di sini.
The Pearl KL menyediakan promosi bufet Ramadan pada harga bermula RM138 bagi dewasa, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) RM118 dan RM78 harga bagi kanak-kanak.

Lebih menarik, cabutan bertuah turut diadakan kepada pengunjung di mana hadiah utama adalah wang tunai sebanyak RM10,888; RM6,888 untuk pemenang kedua dan RM3,888 untuk pemenang ketiga selain hadiah penginapan percuma.
The Pearl KL yang bertaraf empat bintang memiliki 555 bilik bercita rasa dan konsep moden dengan pemandangan bandar apabila berwajah baharu sejak 2023. – MalaysiaGazette
















