Tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel digantung 12 bulan oleh FIFA.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan penggantungan tujuh pemain warisan negara selama 12 bulan seperti diputuskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Namun, penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Tomas Garcés Rattaro; Rodrigo Julian Holgado; Imanol Javier Machuca; Joao Vitor Brandao Figueiredo; Gabriel Felipe Arrocha; Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

CAS dalam satu kenyataan sama turut menolak rayuan yang dikemukakan secara bersama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) kepada FAM kekal berkuat kuasa.

“Ini bermakna para pemain boleh menyambung latihan dengan kelab masing-masing sepanjang tempoh larangan.

“Oleh itu, rayuan para pemain sebahagiannya diterima dan hukuman terbabit dipinda sebahagiannya.

“Larangan daripada bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah dikira sebagai sebahagian daripada tempoh hukuman.

“Panel CAS juga memutuskan bahawa denda CHF350,000 terhadap FAM adalah wajar dan seimbang,” kata CAS.

Awal Disember lalu, FAM mengesahkan pihaknya sudah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman yang dikenakan FIFA.

Rayuan itu turut membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini dikenakan tindakan oleh badan induk dunia tersebut.

Ia selepas hukuman terhadap FAM iaitu denda sebanyak CHF350,000 dikekalkan sepenuhnya, sementara tujuh pemain terbabit turut mengekalkan hukuman masing-masing termasuk denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast