SHAH ALAM – Tindakan dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori berakhir dengan kedua-duanya cedera dirempuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Taman Seri Kapar dekat sini pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi apabila dua suspek terbabit melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum tindakan itu disaksikan sebuah lagi kenderaan yang berada di lokasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kenderaan tersebut kemudian bertindak merempuh motosikal dinaiki suspek sehingga menyebabkan kedua-dua lelaki berkenaan mengalami kecederaan.
“Saya sahkan kejadian melibatkan dua lelaki bermotosikal yang melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori. Ekoran kejadian itu, dipercayai terdapat sebuah kenderaan lain yang melihat insiden berkenaan sebelum bertindak merempuh motosikal suspek sehingga menyebabkan mereka cedera,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Menurut Shazeli, tahap kecederaan kedua-dua suspek masih belum dapat dipastikan kerana pasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Malah identiti serta anggaran umur kedua-dua suspek juga sedang dalam semakan pihaknya di lapangan.
“Polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan kronologi serta perkembangan lanjut siasatan kes berkenaan,” katanya.
Sebelum itu tular video berdurasi 13 saat memaparkan keadaan seorang lelaki terlentang di atas jalan raya dengan dikaitkan dengan kes tembakan. – MalaysiaGazette
















