Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia akibat Rabies pada 25 Februari lalu, menjadikan ia kes kematian pertama akibat penyakit itu di Sarawak bagi tahun 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sejak wabak Rabies diisytiharkan di Sarawak pada 2017, sebanyak 91 kes telah dilaporkan dengan 84 kematian direkodkan, sekali gus menunjukkan kadar kematian yang amat tinggi iaitu 93 peratus.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah digigit haiwan.

“Namun beliau gemar memberi makan anjing liar dan memelihara 15 ekor anjing. Difahamkan, salah seekor anjing peliharaannya mati secara mengejut pada awal Februari lalu,” kata Dr Dzulkefly di laman sosialnya.

Beliau berkata, kes berkenaan menjadi peringatan penting kepada orang ramai bahawa jangkitan Rabies tidak semestinya berlaku melalui gigitan yang jelas.

“Sentuhan rapat, cakaran atau mengendalikan bangkai haiwan yang dijangkiti tanpa perlindungan juga membawa risiko tinggi,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, kepentingan pendekatan One Health yang mengintegrasikan kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran.

“Kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran saling berkait rapat. Apabila satu terjejas, semua pihak berisiko,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil langkah pencegahan segera sekiranya terdedah kepada risiko jangkitan, termasuk mencuci luka gigitan atau cakaran dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit, mendapatkan rawatan Post-Exposure Prophylaxis (PEP) dengan segera dan memastikan haiwan peliharaan divaksin setiap tahun.

Dr Dzulkefy turut mengingatkan supaya, mengelak daripada mengendalikan haiwan liar yang tidak diketahui status vaksinasinya serta melaporkan kematian haiwan yang mencurigakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan dengan segera.

Beliau turut menegaskan, tindakan pantas amat penting kerana rawatan awal mampu menyelamatkan nyawa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast