Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengenal pasti 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerusi-kerusi berkenaan berpotensi untuk ditandingi dan keputusan tersebut dibicanng dan dipersetujui Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

“Parti mengadakan pemukiman Bengkel Pilihan Raya PKR 2026 selama dua hari pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu di Muar.

“Bengkel ini turut dihadiri Naib Presiden parti, Amiruddin Shaari yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat dan menyampaikan amanat kepada jentera pilihan raya negeri Johor serta Melaka.

“Dalam bengkel itu, kita mengenal pasti 28 kerusi berpotensi untuk ditandingi PKR berdasarkan penilaian semasa kekuatan organisasi serta analisis kawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penetapan sasaran itu dibuat selepas penyelarasan kekuatan parti melibatkan kesemua 26 cabang PKR Johor.

Katanya, sasaran tersebut mencerminkan kedudukan semasa parti serta tumpuan terhadap kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi saingan lebih kukuh.

Menurutnya, PKR Johor juga mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai kemungkinan landskap politik semasa termasuk kemungkinan pertandingan tiga penjuru.

“Selain itu, kita turut mengambil kira kemungkinan kesinambungan kerjasama dalam kerangka Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta kemungkinan PRN dan pilihan raya umum diadakan sama ada secara serentak atau berasingan,” katanya.

Tambah beliau, pengukuhan jentera parti kini ditumpukan kepada beberapa DUN yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan dengan penyelarasan operasi lapangan dan penggemblengan kekuatan organisasi secara lebih tersusun.

“Langkah ini menandakan fasa baharu gerak kerja PKR Johor yang kini bergerak dengan sasaran lebih jelas dan jajaran lebih terarah menjelang PRN akan datang,” katanya.

Pada PRN Johor 2022, PKR bertanding di 20 kerusi DUN.

Daripada jumlah tersebut, PKR berjaya memenangi satu kerusi sahaja iaitu di DUN Bukit Batu menerusi calonnya, Chiong Sen Sern.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast