KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya menumpaskan beberapa sindiket penyeludupan rokok, minuman keras tidak bercukai serta kegiatan memiliki bahan letupan tanpa lesen menerusi beberapa operasi berasingan di Selangor.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pelaksanaan Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Charlie dan Op Taring Delta di beberapa lokasi termasuk Kajang, Shah Alam, Klang dan Sungai Buloh.
Menurutnya, dalam serbuan Op Taring Alpha 1 pada 2 Mac lalu kira-kira pukul 7.28 malam di Kajang, dua lelaki ditahan membabitkan seorang warga tempatan dan seorang bukan warganegara.
“Turut dirampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai, sebuah lori serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM749,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, dalam operasi Op Taring Alpha 2 kira-kira pukul 9.05 pagi kelmarin di Shah Alam, tiga lelaki bukan warganegara turut ditahan.
Katanya, polis merampas pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai serta telefon bimbit dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.2 juta.
Sementara itu, menerusi Op Taring Charlie pada hari sama kira-kira pukul 4 petang di sekitar Klang, dua lelaki tempatan ditahan bersama rampasan pelbagai jenis bahan letupan tidak berlesen.
“Polis turut merampas sebuah lori dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya.
Dalam serbuan berasingan kira-kira pukul 10 malam, seorang lagi lelaki tempatan ditahan bersama rampasan bahan letupan tidak berlesen dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM458,000.
Dalam perkembangan lain, melalui Op Taring Delta kira-kira pukul 6.30 pagi kelmarin di Sungai Buloh, pasukan Task Force Delta Briged Tengah PGA berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran.
“Hasil operasi itu, seramai 20 warga Indonesia ditahan melibatkan 14 lelaki dewasa, dua wanita dewasa serta empat lelaki yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat.
“Polis turut merampas dua kenderaan dan beberapa telefon bimbit dengan anggaran nilai rampasan RM224,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Hakemal berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 4 Mac 2026, Briged Tengah PGA telah melaksanakan sebanyak 89 serbuan di kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menurutnya, dalam tempoh itu seramai 287 individu berjaya ditahan dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM13 juta.- MalaysiaGazette
















