Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hanya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan calon Perdana Menteri akhirnya dibalas sinis oleh Menteri Besar Terengganu itu.

Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai “Dr Sam” menyifatkan polemik tersebut tidak seharusnya diperbesarkan namun dalam masa sama melontarkan sindiran tajam kepada Muhyiddin berhubung kedudukan calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

“Yang pasti TSMY juga bukan lagi calon PM,” katanya menerusi kenyataan ringkas di platform X dan Facebook hari ini.

Semalam, Muhyiddin menegaskan, pelantikan Naib Presiden Pas itu sebagai Pengerusi PN tidak bermakna beliau secara automatik menjadi calon Perdana Menteri sekiranya gabungan berkenaan memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut Muhyiddin, isu calon Perdana Menteri adalah perkara berbeza dan perlu diputuskan secara berasingan oleh kepimpinan gabungan tersebut.

Beliau turut memaklumkan soal siapa bakal diangkat sebagai calon Perdana Menteri daripada PN juga belum dibincangkan secara rasmi bersama parti komponen lain termasuk Pas.

Kenyataan itu mencetuskan pelbagai spekulasi politik sehingga mendorong Samsuri menerima banyak pertanyaan daripada wartawan mengenai kedudukannya dalam hierarki kepimpinan PN.

Menurut Samsuri, polemik yang tercetus berhubung kenyataan Muhyiddin itu turut menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pemerhati politik serta penyokong parti.

Bagaimanapun beliau menegaskan, fokus utama PN ketika ini bukan soal perebutan jawatan tertinggi negara, sebaliknya usaha memperkukuh gabungan dan memantapkan kerjasama antara parti komponen.

“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya.

Pertikaman kenyataan antara dua tokoh penting PN itu sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai siapa sebenarnya bakal diangkat sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut berjaya menawan Putrajaya pada PRU-16 nanti.

Malah Muhyiddin turut berkata, soal calon Perdana Menteri daripada PN juga belum dibincangkan lagi bersama parti rakan komponen, Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast