Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir ke mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes saman sivil RM42 juta difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam kes saman SRC International Sdn. Bhd. memperbetulkan laporan media dua hari lalu berhubung keterangan salah seorang bekas pengarahnya yang disifatkan tidak lengkap.

Tetuan Shafee & Co. dalam kenyataan hari ini memberitahu, liputan mutakhir itu tidak menyertakan pengakuan penting yang dibuat oleh Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan pada 4 dan 5 Mac lalu.

Menurut kenyataan tersebut, fakta yang telah direkodkan dalam transkrip rasmi mahkamah menyatakan, Shahrol Azral tidak bersetuju apabila ditanya secara terus sama ada seorang lagi bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil merupakan proksi kepada Najib.

“Pihak pembelaan membuktikan bahawa ahli-ahli lembaga pengarah SRC yang telah memberi keterangan setakat ini, bertindak sepenuhnya berdasarkan representasi yang dibuat oleh Nik Faisal yang tidak disahkan secara bebas dengan Datuk Seri Najib.

“Pihak pembelaan mengambil maklum bahawa tindakan bergantung kepada dakwaan Nik Faisal mengenai apa yang kononnya dikatakan oleh Perdana Menteri adalah merupakan `khabar angin’ (hearsay) dan/atau `khabar angin berganda’ (double hearsay).

“Saksi-saksi yang telah memberi keterangan setakat ini mengakui bahawa walaupun mempunyai peluang untuk bercakap dengan Datuk Seri Najib, tiada sebarang percubaan dibuat untuk mengesahkan secara bebas arahan-arahan yang disampaikan oleh Nik Faisal,” ujar kenyataan tersebut.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media mengenai saman SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2025 (GAMBAR FAIL)

Kenyataan itu selanjutnya menyatakan laporan media juga gagal menyebut bukti daripada kenyataan Nik Faisal kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2015.

Kata kenyataan itu, Nik Faisal ketika itu menegaskan beliau dilantik oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan proses pelaporan bagi SRC adalah satu proses rasmi yang disalurkan kepada `Urus setia MKD’ (Menteri Kewangan Diperbadankan).

“Proses rasmi ini secara langsung menyangkal naratif bahawa beliau melapor terus kepada Datuk Seri Najib.

“Kami menggesa pihak media untuk melaporkan prosiding ini dengan konteks penuh berdasarkan rekod rasmi mahkamah bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan mengenai tadbir urus SRC International,” ujar kenyataan itu.

Dua hari lalu, Shahrol Azral memberi keterangan sebagai saksi pihak ketiga dalam perbicaraan kes saman SRC International dan Gandingan Menteri Sdn. Bhd. terhadap Najib bagi menuntut satu pengisytiharan bahawa bekas Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas RM42 juta wang yang didakwa diseleweng.

Ia menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.

Shahrol Azral merupakan seorang daripada enam bekas pengarah SRC yang dimasukkan Najib sebagai pihak ketiga dalam saman untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada akaun syarikat itu.

Najib menegaskan selain Shahrol Azral dan Nik Faisal, pihak lain iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar harus berkongsi tanggungjawab untuk sebarang ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung 16 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast