MIRI – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang lampu jalan di Jalan Kuala Baram Bypass berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang, mangsa yang memandu dari arah Senadin menuju ke Permyjaya dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas ke bahagian kanan jalan dan merempuh tiang lampu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479. – MalaysiaGazette
















